Malaysia obses media sosial

A
A
A

REUTERS melaporkan bahawa pengasas bersama Facebook, Chris Hughes menggesa Mark Zuckerberg agar rangkaian media sosial itu dipecahkan. Facebook memiliki rangkaian media sosial terbesar dengan lebih dua bilion pengguna di seluruh dunia. Ini termasuk memiliki WhatsApp, Messenger dan Instagram yang masing-masing digunakan lebih satu bilion orang.

Namun, Facebook didakwa berkongsi maklumat 87 juta pengguna secara tidak sah dengan firma perundingan politik Britain, Cambridge Analytica. Ini salah satu skandal keselamatan dan privasi syarikat itu yang dijangka mencungkil beberapa lagi penyalahgunaan media sosial.

Facebook yang dianggap memonopoli pemberitaan dan artikel dunia juga digesa oleh beberapa pembuat dasar agar dipecahkan. Sebahagian daripada penguasaan dunia journalism itu perlu diberikan kepada akhbar yang dianggap konvensional tetapi masih berbisa dalam menyalurkan maklumat dan berita.

Di Malaysia, data terkini menunjukkan bahawa negara ini menduduki kelompok kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih. Menurut Hootsuite and We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019, penembusan internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus. Pengguna internet meluangkan purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian.

Laporan juga mendapati selama dua jam 59 minit digunakan oleh rakyat Malaysia untuk melayari media sosial. Malahan Malaysia menduduki tempat keempat dunia dalam penembusan sosial mudah alih. Malaysia juga mempelopori negara di Asia Tenggara, termasuk Singapura, di tangga keenam, diikuti Thailand (lapan) dan Filipina (10). Internet telah mengubah cara rakyat Malaysia membeli-belah dan berurusan dalam dunia perniagaan. Malaysia menawarkan peluang perniagaan yang unik, dengan 75 peratus pengguna internet membelanjakan wang mereka untuk e-dagang, manakala 58 peratus membelanjakan wang untuk platform dagang mudah alih.

Berdasarkan laporan itu, Malaysia mengatasi Singapura dalam penggunaan perbankan mudah alih apabila 66 peratus daripada pengguna internet di Malaysia menggunakan opsyen perbankan mudah alih berbanding 64 peratus di Singapura.

Kelihatannya semua mudah dan masyarakat semakin yakin dengan penggunaan internet sebagai sumber utama dalam dunia perbankan. Tidak perlu lagi beratur panjang atau sesak dan pening mendapatkan tempat letak kereta semata-mata untuk berurusan dengan bank. Ini juga memberi gambaran mengenai pergantungan yang semakin tinggi ke atas platform mudah alih.

Masyarakat juga mula mengubah cara bertindak dalam pengangkutan dengan menggunakan e-hailing untuk ke mana sahaja. Tidak perlu bersesak lagi di jalan raya atau berebut tempat parkir. Penggunaan e-hailing juga popular di Malaysia apabila 48 peratus pengguna internet menggunakan aplikasi tersebut, ketiga tertinggi di dunia selepas Singapura dan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Ternyata masyarakat Malaysia begitu obses atau sentiasa memberikan penumpuan malah ghairah terhadap penggunaan media sosial dalam kehidupan seharian. Namun sejauh mana media sosial telah mengubah pemikiran, tingkah laku dan tindakan masyarakat? Adakah ia mampu membawa transformasi dalam cara kita berfikir, melihat peluang dan ruang yang lebih luas?

Atau kita hanya jaguh kampung, pengguna media sosial antara tertinggi di dunia, tetapi meletakkan hiburan sebagai keutamaan. Kita lebih seronok melayan Facebook, Intagram, WeChat, YouTube dan sebagainya sehingga melekakan.

Sebaliknya kurang menggarap peluang tersebar luas dalam bidang ekonomi, pendidikan, guna tenaga dan pertukaran kemahiran serta kepakaran. Masih ramai masyarakat kita tidak menggunakan media sosial kepada perkara yang lebih bermanfaat.

Banyak kesalahan penggunaan media sosial yang telah dikenal pasti malah ramai yang telah didakwa. Di antaranya ialah menghasut dan memupuk perasaan benci terhadap pemerintah, kerajaan dan pemimpin. Ini termasuk menghina institusi raja dengan pelbagai teknik sama ada dalam bentuk penulisan, gambar, grafik ilustrasi, audio dan video.

Begitu juga media sosial telah disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara. Menghina agama, mengapi-apikan sentimen perkauman dan memfitnah seseorang untuk menjatuhkan maruah dan reputasi.

Oleh itu, kita sebagai pengguna mestilah peka dengan kandungan media sosial. Jadilah netizen dan pengguna yang tahu memilih, menyaring dan mengenal pasti kandungan yang positif bagi pembangunan individu dan masyarakat.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara