Perak berhasrat perluaskan penggunaan Starlink

Mohd Azlan Helmi (empat dari kiri) melancarkan laman web Press Rider yang dibangunkan oleh Jabatan Kewartawanan UTAR di Kampar.
Mohd Azlan Helmi (empat dari kiri) melancarkan laman web Press Rider yang dibangunkan oleh Jabatan Kewartawanan UTAR di Kampar.
A
A
A

KAMPAR - Kerajaan Perak berhasrat mahu memperluaskan penggunaan peranti satelit Starlink dalam usaha menyediakan kemudahan capaian internet lebih baik terutama di beberapa kawasan pedalaman di negeri itu.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, penggunaan peranti mudah alih dan praktikal itu dapat menyelesaikan isu capaian internet sekali gus mewujudkan akses yang lebih luas serta pantas kepada penduduk.

"Kerajaan negeri akan menganjurkan perbincangan dengan Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital) kalau Starlink ini boleh diperluaskan di banyak kawasan luar bandar di Perak kita mengalu-alukan.

"Namun begitu ada beberapa cabaran yang perlu dilihat antaranya kos membiayai Starlink ini, kelajuan capaian internet dan lain-lain yang perlu diperhalusi.

"Perkara ini bagaimanapun masih dalam perbincangan namun mekanisme penggunaan peranti ini dijangka dapat menyelesaikan banyak masalah di kawasan luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman web Press Rider, Jabatan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di sini pada Jumaat.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan pemasangan perkhidmatan internet satelit Starlink bagi membantu 435 penduduk Orang Asli Kampung Tonggang, Hulu Kinta mendapatkan kemudahan internet stabil.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azlan Helmi berkata, sebanyak 105 menara telekomunikasi di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2 yang sedang dalam pembinaan dijangka siap penghujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Cabaran yang dihadapi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan kerajaan negeri dalam Jendela 2 ini adalah melibatkan isu tanah kebun dan kawasan hutan yang mengambil masa. Bagi pihak kerajaan negeri, kami sedang menyelesaikan isu ini.

"Kita sedar masih ada lagi kawasan-kawasan yang tidak mempunyai liputan yang akan kita angkat ke pihak kementerian. Kerjasama rapat dengan Digital Perak dan pihak syarikat komunikasi dapat membantu mengatasi masalah di kawasan terlibat. Saya yakin penghujung tahun ini kita dapat selesaikan semua Jendela 2 ini," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Azlan Helmi berkata, portal Press Rider yang diusahakan pihak universiti merupakan satu langkah berani dalam menyampaikan berita berkualiti kepada komuniti.

"Dalam dunia yang semakin kompleks dan berubah dengan pantas, laman web Press Rider pasti akan menjadi tonggak penting dalam penyampaian berita yang boleh dipercayai dan relevan.

"Saya berharap platform ini akan terus berkembang, memperkukuhkan integriti industri media dan memberi impak positif kepada masyarakat. Pelancaran laman web ini hanyalah langkah awal dalam perjalanan kewartawanan digital yang menarik," katanya.