Anwar, Elon Musk bincang tingkat capaian internet

Anwar menerusi sidang video bersama Elon Musk pada Jumaat.
Anwar menerusi sidang video bersama Elon Musk pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penyertaan syarikat SpaceX di dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman merupakan antara intipati perbincangan sidang video Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.

Anwar berkata, inisiatif itu akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan.

Beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan Musk di negara selain menyatakan sokongan kerajaan terhadap pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini.

"Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Jelas Anwar, Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.

Selain Anwar, sidang video tersebut turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Awal Mac lalu, Tesla mengumumkan akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia menerusi pusat pengalaman dan pusat servisnya di Malaysia.

Ia susulan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerjasama Elon Musk bawa puluhan ribu peluang pekerjaan - PM

'Selamat datang Tesla' - Amirudin

Anwar, Elon Musk bincang tingkat capaian internet

Beri peluang syarikat tempatan hasilkan kenderaan elektrik

Anwar bertemu Elon Musk secara maya esok