UiTM kenal pasti 10 kampus perlu Starlink

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengenal pasti 10 kampusnya yang mempunyai akses internet di bawah 50 peratus dan memerlukan peralatan satelit Starlink.

Penolong Naib Canselor (Infostruktur) UiTM, Profesor Dr Juliana Johari memberitahu, kampus seterusnya yang akan dipasang peralatan Starlink ialah UiTM Tawau dan UiTM Samarahan, memandangkan kedua-dua kampus itu mempunyai hampir sifar liputan internet.

Sebelum ini, pemasangan peralatan Starlink pertama untuk universiti itu dilakukan di UiTM Kuala Pilah, sebagai program rintis (bukti konsep) bagi inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu.

Kampus-kampus lain adalah di cawangan Shah Alam, Kota Samarahan, Seri Iskandar, Dungun, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Arau dan Permatang Pauh.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan lanjut bersama MCMC sebagai pasukan petugas pemasangan peralatan Starlink untuk universiti itu.

Juliana berkata, hal itu antara lain kerana UiTM masih mencari penempatan terbaik untuk piring satelit berkenaan bagi mengelak titik buta (kawasan tiada capaian Internet) di kampus-kampus tersebut.

"Sebelum ini, terdapat banyak titik buta disebabkan faktor luar seperti kedudukan bangunan. Kami terpaksa memasang banyak peralatan pusat akses (AP) tanpa wayar di dalam dan sekitar blok-blok kampus untuk mengatasi isu titik buta.

"Bagaimanapun, setiap peralatan agak mahal, sekitar RM3,000. Kami mengira perbelanjaan untuk tujuan itu sahaja akan lebih RM100 juta,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pemasangan peralatan Starlink dijangka membantu meningkatkan capaian Internet secara keseluruhan di kampus terlibat.

Beliau berkata, kira-kira 200,000 kakitangan dan pelajar di 10 kampus itu bakal meraih manfaat daripada peralatan satelit tersebut.

Pada 23 Julai lepas, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata 10 unit peralatan satelit Starlink diberi kepada UiTM sebagai sebahagian usaha kerajaan menambah baik kualiti perkhidmatan Internet di kampus cawangan universiti itu.

Beliau kemudian meninjau pemasangan peralatan itu di UiTM Kuala Pilah pada 27 Julai. - Bernama