Ramai kahwin luar negara punca daftar kelahiran lewat bertambah

Mohamad Nasir (tengah) bersama Dr Kasemani (kanan) ketika sidang akhbar sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dan Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Mohamad Nasir (tengah) bersama Dr Kasemani (kanan) ketika sidang akhbar sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dan Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peningkatan jumlah pasangan yang berkahwin di luar negara dipercayai antara punca berlakunya peningkatan membabitkan kes kelewatan mendaftar sijil kelahiran di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Mohamad Nasir Kareem berkata, sebanyak 235 kes kelewatan mendaftar kelahiran direkodkan di negeri itu bermula Januari hingga Ogos tahun ini.

Katanya, jumlah itu dianggarkan lebih tinggi berdasarkan rekod yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Berdasarkan rekod, sebanyak 286 permohonan diterima bagi kes lewat daftar sijil kelahiran sepanjang 2022 iaitu bermula Januari hingga Disember.

"Ada beberapa bulan lagi untuk sampai penghujung Disember 2023 dan kita jangka mungkin kes-kes lewat daftar kelahiran ini akan turut meningkat berdasarkan situasi semasa," katanya kepada pemberita sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang diadakan serentak dengan Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Nasir berikata, pihaknya mendapati lebih 80 peratus daripada jumlah kes kelewatan pendaftaran sijil kelahiran adalah disebabkan 'kecuaian' ibu bapa atau penjaga.

"Jika ibu bapa mendaftar kelahiran selepas bayi mereka berusia 60 hari dari tarikh dilahirkan, pihak JPN perlu menentu sahkan bayi itu dengan menemuduga ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga perlu membayar sebanyak RM50 bagi kadar fi urusan pendaftaran kelahiran itu,"katanya.

Menurut beliau, kebanyakan kes permohonan pendaftaran lewat sijil kelahiran melibatkan penduduk di kawasan bandar yang tidak berdepan dengan masalah pengangkutan.

Sehubungan itu, katanya, pihak JPN kini menggiatkan usaha dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan setiap kelahiran bayi di negeri ini didaftarkan.

"Untuk daftar kelahiran bayi ibu bapa tidak perlu bawa bayi mereka ke JPN. Jadi tidak menjadi kekangan kepada mereka untuk mematuhi prosedur itu kerana wakil penjaga pun boleh untuk daftar.

"Yang menjadi masalah ialah apabila perkahwinan mereka di luar negara tidak didaftarkan dan ia antara punca berlakunya kes-kes seumpama ini.

"Dalam kes-kes atau masalah lain, bantuan dari masyarakat sekeliling juga diperlukan mendaftar bayi yang baharu lahir jika ibu bapa tidak boleh berbuat demikian atau berdepan pelbagai kekangan," katanya.