PRK: Calon agresif pikat pengundi guna kempen maya

Selain turun padang berkempen, calon-calon PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram turut menggunakan media sosial dalam usaha meraih lebih ramai pengundi.- Foto Bernama
Selain turun padang berkempen, calon-calon PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram turut menggunakan media sosial dalam usaha meraih lebih ramai pengundi.- Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Memasuki hari keenam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, calon masih dilihat selesa menggunakan kaedah tradisi turun padang dan menyantuni pengundi setempat dalam skala yang kecil.

Namun dalam masa yang sama, kesemua calon yang di kedua-dua kawasan itu, dilihat turut agresif menggunakan kaedah kempen secara maya bagi menguar-uarkan visi dan misi mereka jika terpilih sebagai wakil rakyat selain tentang pergerakan mereka sepanjang tempoh kempen.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat, misalnya memanfaatkan akaun Facebook dan TikTok, menggunakan nama ‘Suhaizan Kayat’ dan @suhaizan_kayat yang mempunyai 48,000 dan 6,543 pengikut bagi memaklumkan tentang program-program kempen yang dilakukan.

Begitu juga dengan calon Perikatan Nasional, Zulkifli Jaafar yang mempunyai 5,300 pengikut di Facebook dan 1,461 pengikut di akaun TikTok, turut aktif menggunakan dua platfom berkenaan dari semasa ke semasa.

Bagi Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal di Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Dr A. Aziz Azizam, trend berkempen parti politik pada masa kini, tidak boleh lari daripada penggunaan media baharu kerana kos yang rendah selain keberkesanan capaian kepada kumpulan sasar dengan lebih baik dan mudah.

"Namun, platform media (sosial) hanyalah tools ataupun alat. Masyarakat lebih mementingkan bahan ataupun kandungan yang dibawa tersebut. Kandungan mesti memberikan masyarakat keyakinan dan keselesaan terhadap sesuatu perkara, itu akan menjadi keutamaan untuk rakyat untuk memilih sesebuah parti,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurutnya, kumpulan utama pengguna media sosial adalah mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun, namun tidak ada bukti bahawa kumpulan dewasa iaitu yang berumur 41 ke atas tidak terkesan dengan maklumat di media sosial.

Katanya, kekuatan sesebuah isu itu akan menjadi magnet untuk pengundi itu mengikuti perkembangan kempen di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula berpendapat, pendekatan di platform media sosial merupakan kaedah yang lebih kontemporari dan boleh mendapat khalayak yang lebih meluas dalam pilihan raya.

Beliau berkata PN, misalnya juga menggunakan jenteranya untuk berkempen menerusi maya seperti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru untuk PRK kali ini, namun beliau percaya kaedah itu tidak akan sehingga menjejaskan peluang calon PH untuk memenangi PRK Pulai.

"Ini adalah kerana kerana populasi pengundi bukan Melayu adalah tinggi di Parlimen Pulai, media sosial masih tidak mampu menggugat pendirian politik bukan Melayu secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Profesor di Fakulti Media dan Komunikasi Strategik, Oklahoma State University, Amerika Syarikat, Dr Nuurrianti Jalli berkata, antara mesej atau isu yang dilihat disampaikan calon-calon yang bertanding menerusi akaun media sosial ialah tentang mereka adalah pemimpin yang boleh didekati, retorik Islam, transformasi dan isu ekonomi.

"Melihat kepada keaktifan calon di media sosial, kemungkinan untuk mempengaruhi (pengundi) agak rendah tetapi tidak mustahil pengundi dapat dipengaruhi menerusi hantaran daripada pengguna lain, malah kempen juga dapat dilihat menerusi akaun parti dan pengguna lain,” katanya yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Menurut satu kajian syarikat pembekal proksi ProxyRack yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Malaysia berada di tempat kedua bagi negara yang paling banyak menggunakan platform media sosial di dunia, berkongsi kedudukan dengan rakan serantau, Filipina,

Parlimen Pulai yang mempunyai 166,653 orang pengundi dengan kumpulan terbesar terdiri daripada pemilih berusia 21 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 21.05 peratus, diikuti mereka berusia 30 hingga 39 tahun (20.54 peratus) dan pengundi berusia 40 hingga 49 tahun (19.36 peratus).

Sementara itu, Simpang Jeram yang mempunyai 40,379 pengundi, pengundi berusia 30 hingga 39 tahun membentuk kumpulan terbesar sebanyak 23.1 peratus, diikuti pemilih berusia 21 hingga 29 tahun (22.6 peratus) dan mereka berusia 40 hingga 49 tahun (17.62 peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi kerusi Pulai dan Simpang Jeram pada 5 Sept, manakala pengundian pada 9 September. - Bernama