Pas pegang prinsip al-din punca DAP tolak hubungan - Abdul Hadi

SHAH ALAM - Pas sama sekali tidak akan berganjak daripada prinsip Islam, al-din yang mana bukan fahaman agama mengikut takrif sekularisme seperti DAP.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, disebabkan prinsip berikut parti yang diketuai oleh Lim Guan Eng itu telah menolak Pas.
“Prinsip ini mewajibkan Islam mempunyai kedudukan berdaulat dalam negara dipimpin oleh Islam dan bukan konsep sekularisme yang berpisah daripada agama atau ‘Malaysian Malaysia’ yang berperanan menghapuskan rupa bangsa.
“Apabila DAP mahu mengheret Pas keluar daripada prinsipnya dan menginginkan parti ini agar tunduk kepada prinsip sekularisme yang menjadi perlembagaan serta konsep 'Malaysian Malaysia' menjadi hala tuju maka berlakulah pertembungan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Khamis.