Abdul Hadi disiasat dakwaan pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

Abdul Hadi semasa berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Bakri, Muar, pada Sabtu lalu yang menimbulkan kontroversi kerana mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.
Abdul Hadi semasa berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Bakri, Muar, pada Sabtu lalu yang menimbulkan kontroversi kerana mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang menyiasat kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di Markas Pas Bakri, Muar pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau memberitahu, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

"Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada malam Sabtu, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Kawasan Bakri mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

Menurut Abdul Hadi, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya Lembaga Pengampunan.