Rakyat Kedah diingatkan semat jati diri kukuh - Sanusi

Muhammad Sanusi (kanan) ketika berucap pada Majlis Ambang Merdeka ke 66 Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman di Jitra di sini pada Rabu malam.
Muhammad Sanusi (kanan) ketika berucap pada Majlis Ambang Merdeka ke 66 Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman di Jitra di sini pada Rabu malam.
A
A
A

KUBANG PASU - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan rakyat negeri Kedah agar menyematkan kesedaran untuk membina jati diri yang kukuh sebagai pewaris bangsa yang harus sentiasa berjuang mempertahankan bangsa dan tanah air.

Beliau berkata, terdapat empat aspek yang sentiasa menjadi teras pembinaan bangsa iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.

"Walau siapa pun kita, walau di atas mahupun di bawah duduknya kita, inilah prinsip teras yang perlu ada untuk memastikan jati diri kita sentiasa dipegang teguh dalam mempertahankan kemerdekaan ini.

"Tidak ada gunanya kita laungkan slogan merdeka jika minda kita masih terkongkong dengan pegangan ideologi songsang, ataupun kita terpaksa mengikut telunjuk dan kehendak orang lain yang bercanggah dengan hak dan kepentingan diri kita sebagai anak bangsa yang bermaruah dan merdeka," katanya ketika berucap pada Majlis Ambang Merdeka ke 66 Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman di Jitra di sini pada Rabu malam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali.

Menurutnya, bermula daripada zaman Kedah Tua, Kedah adalah sebuah negeri yang hebat sehingga diiktiraf sebagai tamadun yang tertua di Asia Tenggara.

"Ada juga pendapat sejarawan mengatakan Tamadun Kedah lebih tua daripada Tamadun Rom Kuno.Bukti arkeologi menunjukkan bahawa Tamadun Kedah Tua bermula seawal 788 tahun Sebelum Masihi atau lebih 700 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa A.S dan ia bertahan selama 2.400 tahun lamanya," katanya.

Sanusi berkata, Kedah Tua kaya dengan hasil bumi, terutama pengeluaran besi bermutu tinggi yang dinamakan ‘Qalai’.

"Ia ditempah di negeri Kedah dan dieksport ke serata dunia untuk pembuatan senjata dengan teknologi nano. Jadi negeri Kedah pada masa itu terkenal sebagai negeri yang sangat maju.

Artikel Berkaitan:

"Inilah yang menjadi iltizam bagi diri saya selaku ketua kerajaan untuk mengajak warga Kedah semua untuk bersama-sama bersatu hati dan tekad mengembalikan semula kegemilangan negeri kita menjadi The Greater Kedah," katanya.

Menurutnya, apa juga cabaran dan halangan untuk memperkasakan negeri Kedah, harus ditempuh dan ditewaskan.

"Jangan biarkan kemajuan negeri kita disekat dan dihalang oleh pihak-pihak yang berkepentingan menjarah hak kita sebagai rakyat negeri ini.

"Kepatuhan dan taat setia kita adalah kepada Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang memerintah negeri ini dengan penuh kedaulatan dan kemuliaan," katanya.