'Lebih semangat pasang Jalur Gemilang berbanding bendera politik'

Fatahalmubil memasang lebih 200 Jalur Gemilang pada Proton Iswara dan kediamannya di Kampung Parit Keroma Laut. - Foto Bernama
Fatahalmubil memasang lebih 200 Jalur Gemilang pada Proton Iswara dan kediamannya di Kampung Parit Keroma Laut. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Ketika jentera parti politik sanggup berpanas dan berhujan memasang serta memacak bendera politik di sepanjang jalan utama di sini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Fatahalmubil Mat Wajib pula bertungkus lumus memasang Jalur Gemilang.

Kelibat Fatahalmubil, 60, memandu kereta Proton Iswara yang dipenuhi Jalur Gemilang dan bendera pelbagai negeri, sudah cukup untuk menarik perhatian ramai termasuk wartawan Bernama yang mengekori pesara tentera itu hingga ke rumahnya di Kampung Parit Keroma Laut di sini.

Ternyata, kediaman beliau juga dipenuhi dan dihiasi ratusan Jalur Gemilang pelbagai saiz, dan setelah diselidik amalan yang dilakukan setiap kali tiba Hari Kebangsaan itu, menjadi rutinnya sejak 27 tahun lepas.

"Saya hairan mengapa orang boleh bergaduh nak pasang bendera politik, tapi Jalur Gemilang tak mahu pasang.

"Ada yang sanggup panjat tiang elektrik, tapi kenapa semangat itu tiada untuk memasang Jalur Gemilang sedangkan sekarang inikan Bulan Kebangsaan,” katanya yang pernah bertugas di unit Rejimen Askar Melayu Diraja.

Fatahalmubil memasang lebih 200 Jalur Gemilang pada Proton Iswara. - Foto Bernama
Fatahalmubil memasang lebih 200 Jalur Gemilang pada Proton Iswara. - Foto Bernama

Lebih menarik, bapa kepada tiga anak itu sanggup mengeluarkan wang poket sendiri bagi menghiasi sepanjang laluan masuk ke kampung berkenaan kerana mahu penduduk sekitar turut merasakan 'mood’ kemerdekaan.

Baginya, wang ratusan ringgit yang dikeluarkan untuk membeli bendera kecil nilainya jika hendak dibandingkan dengan nilai pengorbanan pejuang dan pemimpin negara terdahulu yang berjuang mendapatkan kemerdekaan.

Fatahalmubil yang bersara pada 1996 berkata, beliau memiliki semangat patriotik yang tinggi kerana sedar perjuangan bagi mendapatkan sebuah kemerdekaan tidak mudah.

Artikel Berkaitan:

"Berapa ramai yang terkorban dan tercedera akibat mempertahankan negara, saya mahu anak muda jangan lupa perkara ini dan kena hayati perjuangan mereka yang terdahulu," katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan rasa bangga setiap kali memandu keretanya yang dihiasi Jalur Gemilang kerana ia merupakan kereta nasional negara, malah ada sahaja kenalan beliau yang mengenali kenderaannya setiap kali memandu di lebuh raya mahu pun jalan biasa.

Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-66 esok, dengan acara perarakan bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan diadakan di Putrajaya melibatkan pelbagai persembahan termasuk pertunjukkan udara dan perbarisan. - Bernama