PRK: Pemandu bas kilang ditahan rosakkan poster parti politik

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan seorang lelaki tempatan pada awal pagi Jumaat, kerana disyaki merosakkan poster sebuah parti politik.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemandu bas kilang berusia 62 tahun itu ditahan sepasukan anggota 'Team Cantas' Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor di Skudai Kiri, Tampoi sekitar jam 5.35 pagi.

"Penahanan dibuat susulan laporan yang diterima Polis Daerah Johor Bahru Utara pada Selasa berhubung poster sebuah parti politik yang dipasang di kawasan Tampoi telah dirosakkan menggunakan senjata tajam.

"Hasil risikan dan maklumat, suspek berjaya ditahan rampasan membabitkan sehelai bendera parti politik, sebilah pisau mata gergaji, sebuah 'dashoard' kamera, sebuah bas kilang dan telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.