Tujuh kali ulang alik masuk penjara

Zawari menyampaikan surat kepada salah seorang banduan yang akan menjalani OBB pada program PBSL sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Penjara Taiping.
Zawari menyampaikan surat kepada salah seorang banduan yang akan menjalani OBB pada program PBSL sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Penjara Taiping.
A
A
A

TAIPING - Bebaskan diri dari belenggu dadah dan jenayah merupakan erti merdeka sebenar buat 29 banduan Penjara Taiping di sini.

Kesemua mereka yang merupakan Orang Bebas Berlesen (OBB) berusia 25 hingga 54 tahun itu dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Banduan yang dikenali sebagai Amir, 25, berkata, peluang itu akan digunakan sepenuhnya untuk membina kehidupan baharu selepas tujuh kali keluar masuk tirai besi.

"Saya akui kesilapan dahulu dengan ambil dadah dan curi motosikal merupakan kesalahan yang ketujuh dilakukan. Pengalaman menghuni Penjara Taiping banyak mengajar saya.

"Kali ini saya diberi kesempatan untuk berdikari dengan terus bekerja dengan majikan yang terpilih. Saya tidak mahu pulang ke kampung kerana mahu buktikan yang saya mampu berubah," katanya.

Amir berkata demikian ketika ditemui pada program Pelepasan Banduan 'Merdeka Madani Kepulangan Dinanti' dan Lawatan Kerja ke Kuaters Penjara Taiping (Berek Hitam) oleh Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Timbalan Komisioner Penjara Zawari Abd Rashid di sini pada Rabu.

Amir berazam membina kehidupan baharu selepas diberi peluang sebagai OBB pada program PBSL di Penjara Taiping.
Amir berazam membina kehidupan baharu selepas diberi peluang sebagai OBB pada program PBSL di Penjara Taiping.

Bagi banduan yang mahu dikenali sebagai Wan, 28, pula berkata, pengaruh rakan dan faktor tekanan keluarga menjadikan dia seorang penagih sejak 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesilapannya itu boleh dijadikan iktibar buat ahli keluarganya yang lain agar tidak mudah terjebak dalam kegiatan negatif.

"Kali ini saya dapat kembali ke pangkuan keluarga dan saya mahu bekerja bersungguh-sungguh untuk tebus kesalahan serta mahu banggakan keluarga.

"Saya akan tunjukkan contoh yang baik dan nasihatkan anak-anak buah agar jangan mengikut jejak saya dengan menjadi insan yang berguna," katanya.

Bagi Hafiz, 40, dia akan ditempatkan di rumah perantaraan sementara mencari pekerjaan yang sesuai.

"Saya berazam mahu berubah jadi yang terbaik dan tidak mahu lagi bertindak mengikut perasaan hingga terlibat dalam pergaduhan seperti sebelum ini.

"Kerana saya berminat dalam bidang mekanik, saya akan kumpul wang untuk membuka sebuah bengkel membaiki motosikal satu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Zawari berkata, program PBSL itu membabitkan banduan yang mempunyai baki hukuman penjara kurang daripada setahun.

Tambah beliau, program itu memberi peluang kepada banduan untuk berubah dengan menjalani program pemulihan bersama komuniti.

"Berdasarkan kepada program lepas, kadar kemasukan balik banduan atau residivis setakat ini adalah 0.24 peratus apabila kita buat program bersama komuniti.

"Atas kejayaan ini, program pemulihan dalam komuniti akan dipertingkatkan lagi bagi mencapai sasaran dua pertiga banduan yang layak menjalani hukuman bersama masyarakat menjelang 2030," katanya.