KPDN Kelantan rampas barangan tiruan bernilai RM117,707

Azman (empat dari kiri) menunjukkan beg-beg tiruan yang dirampas oleh pihaknya.
Azman (empat dari kiri) menunjukkan beg-beg tiruan yang dirampas oleh pihaknya.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 8,000 pelbagai barangan berjenama tiruan bernilai RM117,707 di tiga lokasi perniagaan di sini pada Isnin dan Selasa lalu.

Barangan itu termasuk beg, jam tangan dan tablet yang disita dari tiga peniaga berusia 30-an di Pasar Borong Wakaf Che Yeh serta dua lagi lokasi di Kota Bharu.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, operasi dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa kementerian itu bersama wakil pemilik cap dagang.

Menurut beliau, pihaknya menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang yang berkaitan seterusnya melakukan risikan selama seminggu di premis perniagaan dan stor simpanan di sekitar daerah itu.

“Hasil pemeriksaan kami menyita 8,000 unit baranganan pelbagai jenama seperti pakaian, beg, topi, tali pinggang, jam, tablet dan cermin mata.

“Nilai rampasan keseluruhan bagi kertas siasatan yang dibuka dianggarkan berjumlah RM117,707,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDN Kelantan di sini, pada Rabu.

Jam tangan berjenama tiruan antara yang dirampas oleh KPDN Kelantan.
Jam tangan berjenama tiruan antara yang dirampas oleh KPDN Kelantan.

Menurut beliau, peniaga-peniaga yang terlibat dengan aktiviti jualan barangan tiruan ini kebanyakan menjalankan perniagaan secara dalam talian dan juga bersemuka di lokasi perniagaan terkenal di Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka mengaku barangan yang dijual itu adalah asli dan menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga asal jenama asli terbabit.

“Mereka menyimpan stok di dalam premis perniagaan tersebut dan melakukan urus niaga barangan tiruan itu secara dalam talian sebagai barangan asli.

“Sehubungan itu, operasi dan rampasan ini dilakukan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran dari pemilik berdaftar,” ujar beliau.

Azman berkata, kesalahan-kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 102 (1)(c) dan 100(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 yang jika disabitkan, pemilik premis perniagaan iaitu pertubuhan atau perbadanan, boleh didenda maksimum RM15,000 bagi setiap barang.

“Bagi individu atau perseorangan, denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

“KPDN Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang masih melakukan perniagaan barangan tiruan ini supaya menghentikan segera dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka,” katanya.