Ahmad Dusuki tarik rayuan saman terhadap Mujahid

Ahmad Dusuki (kiri), Mujahid Yusof (kanan)
Ahmad Dusuki (kiri), Mujahid Yusof (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani menarik balik rayuan saman fitnah terhadap Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung dengan isu di sebalik penjualan aset Tabung Haji (TH).

Perkara tersebut disahkan Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas dimaklumkan peguamnya, Noorazmir Zakaria bahawa Ahmad Dusuki berbuat demikian di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa selain diperintahkan membayar kos rayuan RM5,000.

“Berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak Pas sejak sekian lama, khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama.

“Kini dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuannya itu, membuktikan Dusuki akhirnya telah akur bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini Ahmad Dusuki pada 22 November 2020 memfailkan saman fitnah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap Mujahid dengan menuntut permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlah.

Bagaimanapun, pada 14 September 2022, mahkamah mendapati ciapan Twitter itu tidak berbentuk fitnah kerana semasa perbicaraan, terbukti bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan islam dan diarahkan membayar kos berjumlah RM11,000 kepada Mujahid.

Ahmad Dusuki kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ditolak pada 2 Mei 2022 dengan kos RM7,000

Jelas Mujahid, Mahkamah Tinggi ketika menolak rayuan mengesahkan ciapan beliau itu mempunyai justifikasi kerana satu tindak balas terhadap kenyataan Ahmad Dusuki bahawa TH telah menjual hotel kepada bukan Islam dan ia dosa yang perlu ditanggung sehingga akhirat.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat penjelasan yang dibuat di Parlimen oleh bekas perdana menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

“TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” ujarnya.