Yee Fatt dedah punca Penang kecundang di Petaling Jaya

Antara aksi menarik perlawanan berintensiti tinggi Liga Super, Penang menentang PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. - Foto PDRM Football Club
Antara aksi menarik perlawanan berintensiti tinggi Liga Super, Penang menentang PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. - Foto PDRM Football Club
A
A
A

KEGAGALAN menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan gol antara punca Penang FC berputih mata ketika berdepan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Itu rumusan pengendali Harimau Kumbang, Chong Yee Fatt ketika kelab utara tanah air tersebut melakar kekalahan ke-12 selepas mengharungi 21 perlawanan Liga Super musim ini.

Kekalahan terbaharu itu menyaksikan kemarau kemenangan skuad Haria Penang Haria tersebut terus berpanjangan lima perlawanan berturut-turut selepas tewas kepada Selangor (0-3), Sabah FC (1-2), Perak FC (1-3), Kedah Darul Aman FC (1-2) sebelum ini.

Sebagai rekod, tiga mata terakhir diraih Harimau Kumbang adalah ketika menjinakkan Kelantan FC, 4-3 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 8 Julai lalu.

"Kami tewas kepada pasukan lebih baik dalam perlawanan ini yang memanfaatkan sepenuh peluang untuk meraih tiga mata.

"Pada masa sama kami juga memiliki peluang tersebut, namun gagal memanfaatkannya dalam perlawanan ini.

"Malah biarpun ketinggalan dua gol, pemain berusaha untuk bangkit namun peluang tersebut gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan gol," katanya selepas perlawanan itu.

Aksi di Petaling Jaya tersebut menyaksikan tiga gol The Cops kendalian Datuk Yunus Alif dijelmakan jaringan sendiri pemain Harimau Kumbang, Ousmane Fane minit ke-36, James Okwuosa (m-74) dan Bruno Suzuki (m-94).

Artikel Berkaitan:

Tambah Yee Fatt lagi, sebelum datang ke sini (Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya), pasukannya berusaha mengatasi kelemahan, namun situasi sama masih berulang.

"Kami banyak buat kesilapan sendiri dalam perlawanan ini yang menyaksikan bola tidak masuk ke dalam gawang gol seterusnya menyebabkan para pemain hilang keyakinan diri," katanya.