Tiada lagi bil cukai tanah fizikal di Perak mulai 2024

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Mulai tahun 2024, kerajaan negeri Perak tidak lagi mengeluarkan bil cukai tanah secara fizikal kerana urusan berkaitan tanah akan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bil cukai tanah boleh disemak melalui portal rasmi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dengan terus mendaftar sebagai pengguna portal awam e-Tanah.

Menurutnya, hebahan mengenai perkara tersebut telah dilaksanakan sebelum ini untuk memastikan orang awam mengetahui tentang pelaksanaan sistem baharu itu.

"Kita akan hantar makluman mengenai perkara ini kepada pengerusi-pengerusi masjid di seluruh daerah untuk diumumkan dalam masjid pada hari Jumaat. Pelbagai bentuk medium juga akan digunakan untuk dimaklumkan kepada orang ramai.

"Tujuan kita uar-uarkan ini supaya mereka yang tidak mahir atau tiada akses internet boleh mencari ketua kampung atau setiausaha JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) ini akan diuruskan. Saya juga minta pejabat-pejabat YB (yang berhormat) pun yang ada akses internet boleh membantu sebagai salah satu kaedah membantu rakyat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Sementara itu, Mohamad Fariz berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 500,000 pemilik geran hak milik tanah yang sudah mendaftar di portal berkenaan.

Menurutnya, jumlah itu masih rendah berbanding individu yang mempunyai geran hak milik tanah di Perak iaitu seramai lebih 2 juta orang.

Jelasnya, melalui kaedah baharu pembayaran berkenaan, orang ramai tidak perlu lagi beratur panjang di kaunter untuk berurusan sama ada membayar cukai tanah mahu pun urusan lain yang berkaitan dengan pejabat tanah.