Air pasang merah landa Teluk Bahang, Balik Pulau

Air pasang merah didapati berlaku sejak dua hari lalu di Balik Pulau dan Teluk Bahang.
Air pasang merah didapati berlaku sejak dua hari lalu di Balik Pulau dan Teluk Bahang.
A
A
A

GEORGETOWN - Jalur merah jambu yang muncul di kawasan laut Teluk Bahang dan Balik Pulau sejak Sabtu lalu menjadi tanda tanya kepada ramai pihak termasuk pengunjung pantai.

Sehingga tengah hari Isnin, rona merah jambu masih kelihatan di beberapa bahagian di kawasan berkenaan.

Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai menyifatkan keadaan itu sebagai air pasang merah (red tide bloom).

Beliau berkata, kejadian yang sama telah berlaku pada April lalu iaitu semasa musim panas (dengan beberapa hujan yang membawa nutrien dari darat ke lautan).

Beliau menambah, air pasang merah boleh berlaku disebabkan oleh pencemaran setempat atau pantai serta aliran keluar panas dan hujan yang tinggi.

“Peristiwa terbaharu ini mula disedari dua hingga tiga hari lalu apabila penghuni di bawah (seperti ikan pari dan ketam) naik ke permukaan, kemungkinan besar disebabkan paras oksigen yang rendah (anoxia).

"Selain itu, ada laporan mengatakan berlaku bau busuk yang kuat di dalam lumpur. Bagaimanapun, kejadian kali ini lebih 'kuat' berbanding yang berlaku pada April.

Ikan yang mati akibat air pasang merah yang berlaku di perairan Teluk Bahang dan Balik Pulau. Kehidupan laut turut mati akibat fenomena air pasang merah.
Ikan yang mati akibat air pasang merah yang berlaku di perairan Teluk Bahang dan Balik Pulau. Kehidupan laut turut mati akibat fenomena air pasang merah.

"Ini kerana ia berlaku semasa air pasang (berbanding air pasang pada bulan April). Selain itu, 'bunganya' tidak hanyut atau dibawa oleh air pasang atau ombak," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah beliau, variasi dalam faktor persekitaran seperti suhu atmosfera yang dikaitkan dengan hujan yang tinggi mengakibatkan perubahan suhu permukaan laut dan ketersediaan nutrien terlarut menyebabkan pembiakan plankton yang dikenali Dinoflagellate dan Noctiluca Scintillans.

"Noctiluca Scintillans ialah spesies marin Dinoflagellate yang boleh wujud dalam bentuk hijau atau merah, bergantung kepada pigmentasi dalam vakuolnya.

"Dinoflagellate boleh mendatangkan bahaya kepada alam sekitar antaranya kematian ikan akibat penyumbatan insang atau pengurangan paras oksigen di dalam air.

“Dengan laut yang semakin panas, semakin masam dan kekurangan, semua ini akan meningkatkan air pasang merah. Namun apa yang membimbangkan, tiada kesan toksik diketahui tetapi ada kemungkinan kandungan ammonia yang tinggi dalam vakuol telah merengsa ikan menyebabkan ikan mengelak untuk mendekati kawasan berkenaan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, punca kematian ikan dalam siasatan.

Sementara itu, nelayan sekitar kawasan Teluk Bahang dan Balik Pulau menyatakan kebimbangan mereka terhadap fenomena air pasang merah kerana didakwa telah mengakibatkan kematian ikan dan hidupan laut.

Kejadian itu dikatakan berlaku bermula kira-kira 1 kilometer iaitu di kawasan Muka Head sehingga ke kawasan pesisir pantai di sekitar Teluk Bahang, di sini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Bahang, Johari Mohamad berkata, nelayan menyedari kejadian tersebut selepas terdapat jalur-jalur berwarna merah di permukaan laut dan ikan secara tiba-tiba timbul di permukaan lalu mati.

"Kita boleh nampak dengan jelas ada jaluran memanjang di tengah laut yang berwarna merah dan keadaan air laut pun tidak cantik seperti selalu.

"Nelayan sedar kejadian ini sejak dua hari lalu dan kejadian sama pernah berlaku pada awal tahun ini di mana ikan habis mati," katanya.

Menurutnya, nelayan bimbang sekiranya fenomena air pasang merah itu berterusan dan menyebabkan hasil laut menyusut.