PRK: Wujudkan pasukan pemerhati pantau aktiviti rasuah

Laporan Sinar Harian pada Sabtu
Laporan Sinar Harian pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan hubungan kerjasama bersama #RasuahBusters bagi mewujudkan pasukan pemerhati profesional sebagai kontinjen tetap memantau aktiviti rasuah semasa pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, SPR telah lama mewujudkan program pemerhati setiap kali pilihan raya, namun pihak berkenaan tidak pernah mendedahkan sebarang hasil laporan akhir.

“Setakat ini SPR tidak pernah dedahkan tentang input, output, dapatan, hasil atau impak program ini. Walaupun program SPR ini tidak berkaitan dengan SPRM tetapi ia mempunyai elemen kepentingan yang harus ditangani bersama.

“#RasuahBusters adalah salah satu pasukan yang boleh dijadikan pasukan khusus banteras rasuah. Dengan cara ini, #RasuahBusters mempunyai reputasi yang baik dalam kalangan masyarakat dan pemerintah serta usaha SPRM melancarkan dua bilik gerakan aduan rasuah ini dipandang serius,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian pada 26 Ogos, bahawa SPRM melancarkan dua bilik gerakan di Johor bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan perbuatan rasuah serta salah guna kuasa semasa PRK yang dijadualkan berlangsung pada 7 Oktober 2023.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan,kedua-dua bilik gerakan itu beroperasi 24 jam bermula 26 Ogos hingga 9 September.

Sementara itu, Helmi berpandangan, SPRM dan SPR perlu berkongsi data atau maklumat kepada masyarakat agar golongan akademik yang berminat dapat melakukan kajian kes mengenai sosiologi rasuah dan pilihan raya untuk bacaan ilmiah.

Tambah beliau, aspek utama dalam membanteras rasuah bukanlah semata-mata kepada penguatkuasaan tetapi juga kesedaran.

“Kedua-duanya perlu bekerjasama dalam membendung rasuah pilihan raya kerana setakat ini, saya tidak nampak wujudnya kerjasama yang dinamik. Sekiranya ada, ia mungkin hanya dalam konteks pentadbiran.

“Kerajaan wajar melantik #RasuahBusters sebagai pemegang taruh utama yang mewakili gerakan bukan kerajaan untuk berada di dalam Majlis Anti Rasuah Kebangsaan kerana mereka sudah membentuk Pelan Anti Rasuah pada tahun 2019,” ujarnya.