Sihat dan cergas dalam tembok penjara

Pasukan yang disertai Emma mendapat tempat pertama pada Program Gaya Hidup Sihat Pertandingan Zumba Peringkat Penghuni PWKK, di Kapayan, Kota Kinabalu.
Pasukan yang disertai Emma mendapat tempat pertama pada Program Gaya Hidup Sihat Pertandingan Zumba Peringkat Penghuni PWKK, di Kapayan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Walaupun terpisah di sebalik tembok batu namun itu bukan bermakna penghuni di dalam Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK) tidak mempunyai aktiviti berbentuk komuniti antara mereka.

Malah baru-baru ini penulis disajikan dengan pelbagai tarian zumba yang rancak dan bertenaga daripada enam pasukan terdiri daripada penghuni PWKK itu sendiri.

Menurut penghuni dikenali sebagai Emma, 29, program pertandingan zumba yang dianjurkan dalam penjara sekurang-kurangnya dapat memastikan badan mereka sentiasa sihat dan cergas walaupun berada di dalam tempoh hukuman.

"Saya memang minat menari sejak dulu lagi, malah sangat suka menyertai aktiviti seperti ini kerana ia akan membuatkan badan lebih cergas dan sihat.

"Disebabkan kami terpisah dengan keluarga dan sedang menjalani hukuman jadi program seperti ini saya anggap sebagai terapi untuk menyihatkan mental dan rohani," katanya ketika ditemui pada Program Gaya Hidup Sihat Pertandingan Zumba Peringkat Penghuni PWKK, di Kapayan, baru-baru ini.

Emma bersama pasukannya berjaya memenangi hati juri dengan mendapat tempat pertama dan menewaskan lima lagi kumpulan dalam pertandingan itu.

Sebelum itu, Emma menerima hukuman penjara selama 17 tahun kerana terlibat dalam kes pemerdagangan manusia pada 2018.

Bagaimanapun, Emma berkata, penjara bukan pengakhiran baginya kerana banyak peluang yang diperoleh ketika dalam tempoh hukuman termasuk berjaya mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik.

"Di sini saya juga telah mengambil SPM dan mendapat keputusan 1A, 2B dan 2C. Saya juga malah mendapat berita gembira apabila telah diterima melanjurkan pengajian ke peringkat diploma dalam jurusan perubatan di Semenanjung nanti.

"Saya akan berpindah ke penjara Semenanjung untuk tujuan itu dan turut mendapat biasiswa penuh dari pihak penjara, jadi bagi saya ada hikmahnya semua yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Penjara PWKK, Nor Hazlin Mohammed Yunos berkata, penghuni di dalam penjara itu tidak berkeseorangan malah pelbagai aktiviti dilakukan bersama antara pegawai dan penghuni.

"Pertandingan zumba ini antara aktiviti yang kita laksanakan dalam tembok penjara dan mungkin jika mereka berbakat apabila keluar nanti boleh menjadi jurulatih dan sebagainya.

"Kita akan teruskan program pemulihan insan (PPI) ini dari masa ke masa," katanya.