KPDN sasar pelaburan RM50 juta misi perdagangan ke Indonesia

Azman (tengah) ketika mengetuai delegasi Persatuan Francais Malaysia ke Jakarta, Indonesia.
Azman (tengah) ketika mengetuai delegasi Persatuan Francais Malaysia ke Jakarta, Indonesia.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM50 juta bagi kesemua 12 syarikat menerusi misi perdagangan francais Malaysia ke Indonesia dengan menjadi pempamer Franchise, License & Business Concept Expo & Conference (IFRA 2023).

Antara jenama yang terlibat ialah Marrybrown, Globalart, HOME Maths Therapy, Smart Reader Kids, LaundryBar, Q-dees, US Pizza, MY Art Studio, Mokti's, MyeongDong Topokki, Genius Aulad dan Little Caliphs.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pameran yang diadakan secara tahunan itu menghimpunkan lebih 150 syarikat daripada pelbagai negara untuk mempromosikan perniagaan mereka.

Katanya, semasa pameran IFRA 2023 berlangsung, sebanyak dua memorandum persefahaman (MoU) oleh jenama MyeongDong Topokki dan Genius Aulad bersama rakan perniagaan mereka di Indonesia telah ditandangani bagi pembukaan outlet di Jakarta.

"Keseluruhan nilai perjanjian bagi kedua-dua MoU yang ditandatangani ini melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM7.5 juta.

"Saya yakin syarikat-syarikat yang menyertai misi perdagangan ke Jakarta, Indonesia ini akan mendapat hasil bagi pulangan pelaburan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau yang mengetuai delegasi Persatuan Francais Malaysia itu turut dijadualkan untuk merasmikan outlet ketiga US Pizza, syarikat francais Malaysia yang beroperasi di Jakarta, Indonesia dan juga mengadakan lawatan ke outlet MyeongDong Topokki dan Globalart bagi melihat operasi syarikat mereka di sana.