Perang CIDB lawan penyelewengan, rasuah

Penguatkuasaan CIDB di tapak bina menjurus kepada pematuhan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).
Penguatkuasaan CIDB di tapak bina menjurus kepada pematuhan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).
A
A
A

SHAH ALAM - Isu berkaitan integriti dan rasuah amat ditekankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam memastikan industri pembangunan lebih cekap dan berkredibiliti.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, sebagai sebuah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia dan membangunkan industri pembinaan negara, CIDB tidak terkecuali daripada berhadapan dengan isu-isu berkaitan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan sebagainya.

“Dalam hal ini CIDB sememangnya komited dalam usaha memerangi gejala tersebut. Bagi menyokong inisiatif kerajaan melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, CIDB membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) CIDB 2021-2025.

“OACP CIDB ini merangkumi inisiatif-inisiatif yang menjurus kepada memperkukuhkan ketelusan, kredibiliti, keberkesanan dan kecekapan CIDB dalam menyampaikan perkhidmatan,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Ahmad ‘Asri
Ahmad ‘Asri

Beliau berkata, CIDB turut mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (MS ISO 37001:2016) bagi mempertingkat dan memperkemaskan aspek integriti dalam sistem penyampaian di CIDB.

Katanya, CIDB merancang untuk memanjangkan skop pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah kepada Pejabat CIDB negeri dan cawangan secara berperingkat dan dijangka akan mendapatkan pensijilan itu pada akhir tahun 2026.

Bendung masalah

Ahmad 'Asri berkata, bagi membendung masalah itu, CIDB melaksanakan Kursus Integriti dan Kod Etika yang diwajibkan ke atas setiap kontraktor berdaftar bagi memperkasakan keupayaan dan meningkatkan kesedaran kepentingan integriti setiap kontraktor.

CIDB menjalankan pemeriksaan di tapak pembinaan dalam memastikan industri pembangunan negara cekap dan berintegriti.
CIDB menjalankan pemeriksaan di tapak pembinaan dalam memastikan industri pembangunan negara cekap dan berintegriti.

“Kursus ini dibangunkan bagi memberi kesedaran kepada pemilik syarikat tentang kepentingan pemantapan integriti dalam pelaksanaan sesuatu kerja pembinaan,” kata beliau.

Jelasnya, kursus itu dilancarkan oleh CIDB pada tahun 2010 dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Berdasarkan kepada jawapan CIDB berkenaan usaha dan peranan dalam menangani isu integriti mahu pun rasuah, kita sentiasa bekerjasama dengan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam pelaksanaan program-program pengukuhan integriti kepada staf dan penggiat industri pembinaan serta bekerjasama dalam aktiviti pematuhan di tapak bina.

“Kita akan sentiasa bekerjasama dan memberikan kerjasama kepada pihak SPRM dan PDRM sekiranya terdapat aduan-aduan berkaitan integriti atau rasuah terhadap CIDB,” katanya.

Tindakan tegas

Ahmad 'Asri berkata, sekiranya pegawai dan anggota CIDB dikesan terlibat rasuah, satu jawatankuasa tatatertib akan ditubuhkan untuk menyiasat.

CIDB akan menubuhkan satu jawatankuasa tatatertib untuk menyiasat sekiranya pegawai dan anggota CIDB dikesan terlibat rasuah.
CIDB akan menubuhkan satu jawatankuasa tatatertib untuk menyiasat sekiranya pegawai dan anggota CIDB dikesan terlibat rasuah.

“Kita akan buka kertas siasatan dan kes akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib untuk diambil tindakan.

“Antara tindakan diambil untuk kes tatatertib staf adalah seperti diturunkan pangkat, tidak disahkan jawatan dan ditamatkan perkhidmatan bergantung kepada merit kesalahan dilakukan.

“Sekiranya kontraktor yang terlibat, kes akan diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Menurut Ahmad 'Asri, penggiat industri pembinaan seharusnya melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab.

“Mereka perlu menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi agar industri pembinaan di Malaysia dapat berkembang pesat, sekali gus membangunkan ekonomi negara.

CIDB dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia dan membangunkan industri pembinaan negara.
CIDB dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia dan membangunkan industri pembinaan negara.

“Salah satu cara bagi kita menanamkan nilai integriti serta menjadikan ia etika kerja industri pembinaan ialah dengan menganugerahkan kontrak dan projek-projek pembinaan kepada mereka yang terbukti integritinya.

“Namun demikian pendekatan ini memerlukan satu kaedah yang boleh mengambil kira integriti di dalam proses penilaian,” jelasnya.

Bagaimanapun Ahmad 'Asri berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mudah dan amat subjektif.

“Lembaga profesional yang mentadbir urus bidang profesional di dalam industri pembinaan perlu meneruskan peranan mereka sebagai ‘penjamin’ integriti ahli-ahli mereka,” katanya.