Kes AMLA, elak cukai Rosmah tangguh Ogos depan

Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pad Jumaat untuk perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN yang dihadapinya. - Foto Bernama
Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pad Jumaat untuk perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN yang dihadapinya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding hari pertama kes pengubahan wang haram RM 7.1 juta dan pengelakan cukai membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor yang dijadualkan bermula di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, ditangguhkan ke Ogos depan.

Hakim, K Muniandy menangguhkannya selepas membenarkan permohonan daripada peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu.

Ketika prosiding, Geethan berkata, representasi dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu minggu lalu.

Menurutnya, permohonan dibuat bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap anak guamnya.

“Dalam dokumen berkenaan, kami telah membangkitkan beberapa fakta daripada perbicaraan kes projek hibrid solar yang turut dihadapi Rosmah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mengesahkan, representasi telah diterima pada tarikh yang dinyatakan pihak pembelaan.

“Kami memohon sekurang-kurangnya dua bulan untuk membuat persediaan kerana mereka telah menaikkan perkara baharu iaitu isu perundangan yang serius.

“Oleh itu, pihak pendakwaan belum bersedia untuk memulakan prosiding hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, Muniandy menangguhkan prosiding yang ditetapkan sebelum ini iaitu 28 dan 30 Jun, 6, 7, 28 dan 31 Julai serta 1, 2, 11 Ogos.

“Pada tarikh itu, semua pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai status representasi, sama ada diterima atau ditolak.

“Sekiranya ditolak, mahkamah akan meneruskan perbicaraan sebagai mana yang dijadualkan," katanya yang kemudiannya menetapkan prosiding bersambung 24 Ogos depan.

Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas wanita berusia 72 tahun ini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Pendengaran rayuan itu akan didengar bermula 11 hingga 14 Julai ini.