KPDNHEP Johor keluar notis amaran kepada peniaga bazar

Mohd Hairul Anuar (kanan) menunjukkan tanda harga yang dipamerkan salah seorang peniaga ketika membuat lawatan di Bazar Ramadan Plaza Angsana di sini hari ini.
Mohd Hairul Anuar (kanan) menunjukkan tanda harga yang dipamerkan salah seorang peniaga ketika membuat lawatan di Bazar Ramadan Plaza Angsana di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan notis kepada dua peniaga di Bazar Ramadan Plaza Angsana di sini selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jualan mereka.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, notis berkenaan bertindak sebagai amaran dan peringatan kepada peniaga tersebut supaya dapat mematuhi peraturan ditetapkan.

"Notis amaran dikeluarkan kepada peniaga yang masih gagal mempamerkan tanda harga boleh dikenakan denda dan kompaun di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993).

“Kesalahan dilakukan individu, denda boleh dikenakan sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali manakala kompuan maksimum sehingga RM25,000. Bagi syarikat, denda boleh dikenakan RM100,000 atau kompaun maksimum RM50,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan di Bazar Ramadan Plaza Angsana di sini hari ini.

Menurutnya, dalam pada itu seramai 200 anggota KPDNHEP ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan di tapak bazar Ramadan seluruh negeri ini sejak 7 Mei lalu.

“Setakat hari ini (10 Mei), KPDNHEP negeri memeriksa sebanyak 816 premis bazar Ramadan di seluruh negeri ini dan tiada tindakan diambil sepanjang pemeriksaan dijalankan.

“KPDNHEP juga tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai kenaikan harga mendadak di bulan Ramadan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hairul Anuar berkata, maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui sistem e-aduan di laman web rasmi KPDNHEP atau aplikasi Whatsapp di talian 019-279 4317.