Penyamun menyamar polis diberkas

Antara barangan yang dirampas polis susulan penahanan suspek di Shah Alam, Selangor pada Isnin. Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin
Antara barangan yang dirampas polis susulan penahanan suspek di Shah Alam, Selangor pada Isnin. Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Helah seorang lelaki menyamar polis untuk melakukan samun di sebuah hotel di Damansara Utama, di sini pada Isnin, hanya memakan diri selepas diberkas polis, beberapa jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, satu laporan diterima pihaknya pada jam 12.56 tengah hari daripada mangsa lelaki berusia 35 tahun.

"Suspek telah menyamar sebagai anggota polis kononnya untuk menjalankan pemeriksaan sebelum menyamun wang tunai mangsa berjumlah RM3,000.

"Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 2.30 petang hari yang sama, sepasukan polis dari Balai Polis Damansara telah menahan suspek di kawasan Shah Alam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, polis telah merampas beberapa barang selain pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian samun terbabit.

Katanya, semakan mendapati suspek berusia 29 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes jenayah dan tiga kes dadah.

"Ujian saringan air kencing juga mengesahkan suspek positif dadah jenis syabu," ujarnya.

Tambahnya, suspek kini telah direman empat hari untuk siasatan bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: