Bekas PM Pakistan, Imran Khan diberkas polis

Anggota keselamatan mengawal kereta yang membawa Imran ketika beliau tiba di mahkamah di Islamabad. - Foto AFP
Anggota keselamatan mengawal kereta yang membawa Imran ketika beliau tiba di mahkamah di Islamabad. - Foto AFP
A
A
A

ISLAMABAD - Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan telah ditahan pada Selasa sejurus hadir di mahkamah di ibu negara bagi berdepan puluhan kes yang belum selesai sejak beliau digulingkan pada hujung tahun lalu.

Penangkapan beliau berikutan krisis politik selama berbulan-bulan dan berlaku beberapa jam selepas tentera yang berkuasa menegur bekas pemain kriket kerana mendakwa seorang pegawai kanan terbabit dalam komplot untuk membunuhnya.

Pegawai dari parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) menggesa penyokong untuk membuat tunjuk perasaan susulan penahanan Imran.

Namun, polis memberi amaran mengenai larangan perhimpunan melebihi empat orang dan akan mengambil tindakan tegas.

Penyokong PTI dilaporkan berkumpul dan menyekat jalan raya di bandar-bandar di seluruh bandar termasuk Islamabad, Lahore dan Peshawar.

"Imran telah ditahan dalam kes Qadir Trust," menurut ciapan polis di akaun Twitter rasmi yang merujuk kes rasuah.

Video disiarkan di saluran TV tempatan menunjukkan Imran sedang dikawal puluhan renjer separa tentera untuk dimasukkan dalam kereta perisai dalam kompleks Mahkamah Tinggi Islamabad.

Penahanan Imran berlaku sehari selepas tentera memberi amaran kepadanya supaya tidak membuat 'dakwaan tidak berasas' selepas beliau sekali lagi menuduh seorang pegawai kanan merancang untuk membunuhnya. - AFP