Aminuddin pegang tiga portfolio

Aminuddin menunjukkan senarai Exco Negeri Sembilan
Aminuddin menunjukkan senarai Exco Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan 10 portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), pada Khamis.

Pengumuman itu dibuat pada sidang akhbar selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 yang pertama di Wisma Negeri di sini.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat memegang tiga portfolio pada penggal kali ini berbanding lima yang dipegangnya sebelum ini.

Tiga portfolio berkenaan ialah Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Kewangan, Tanah dan Sumber Alam; serta Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam.

Selain itu Exco Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang merupakan ADUN Pertang turut diberi peranan dua portfolio iaitu Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.

ADUN Bahau, Teo Kok Seong pula yang sebelum ini memegang portfolio Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru pula bertukar kepada portfolio Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam.

ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon juga bertukar portfolio kepada Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang mana beliau sebelum ini merupakan Exco Hal Ehwal dan Kebajikan.

Aminuddin (depan) bersama barisan Exco Negeri Sembilan seelpad mengadakan Mesyuarat Pertama.
Aminuddin (depan) bersama barisan Exco Negeri Sembilan seelpad mengadakan Mesyuarat Pertama.

Artikel Berkaitan:

Turut bertukar portfolio iaitu ADUN Repah, S Veerapan yang sebelum ini merupakan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan kini diberi tanggungjawab memegang portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.

ADUN Nilai, J Arul Kumar bertanggungjawab terhadap portfolio Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan dan ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli pula memegang portfolio Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital.

ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim pula memegang portfolio Pendidikan dan Modal Insan manakala ADUN Palong, Mustapha Nagoor memegang portfolio Pembangunan Belia dan Sukan.

Dua ADUN wanita iaitu ADUN Pilah, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim pula diberi tugas sebagai Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala ADUN Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman pula bertanggungjawab kepada portfolio Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO.

Berhubung pelantikan Yang Dipertua DUN yang baharu, beliau membayangkan kemungkinan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) akan dicalonkan untuk jawatan tersebut.

"Mungkin Amanah, kita dah janji. Kalau hari tu kita janji kepada Amanah, kepada Amanahlah. Siapa saya tak tahulah," katanya.

Tambahnya, angkat sumpah jawatan dijangka dibuat pada 26 September.