Industri perancangan kewangan berkembang dengan ketara

Awang Adek - Foto Bernama
Awang Adek - Foto Bernama
A
A
A

INDUSTRI perancangan kewangan telah berkembang dengan ketara dan memainkan peranan yang semakin penting dalam kesejahteraan kewangan ramai rakyat Malaysia.

Antara 2015 dan 2022, jumlah firma perancangan kewangan meningkat sebanyak 42 peratus, daripada 31 kepada 44 firma sehingga akhir 2022 manakala jumlah wakil berlesen naik sebanyak 145 peratus dalam tempoh yang sama kepada 1,455.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, penting bagi industri perancangan kewangan untuk seiring dengan keadaan pasaran dan permintaan pelabur yang berubah.

"Industri perancangan kewangan perlu memperluas penawarannya untuk memenuhi keutamaan pelabur untuk pelaburan bertanggungjawab sosial (SRI), melabur dalam teknologi untuk perkhidmatan yang lebih disesuaikan dan membina tenaga kerja mahir untuk masa depan,” katanya dalam ucaptama pada Simposium Perancangan Kewangan Utama Tahunan 2023 Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) di sini pada Rabu.

Mengenai masa depan, katanya, trend kekayaan serantau dan tempatan menunjukkan bahawa pelabur mencari strategi pelaburan yang menyeluruh yang mempertimbangkan keseluruhan portfolio mereka berbanding memberi tumpuan kepada produk individu.

"Model perkhidmatan yang berkembang dan akses yang dituntut oleh pelanggan diterajui oleh permintaan yang meningkat untuk nasihat dengan penglibatan pelabur yang lebih mendalam dalam jangka masa panjang.

"Sehubungan itu, SC berusaha untuk memudahkan dan memperkasakan firma dan perunding untuk bergerak ke arah penawaran pengurusan kekayaan yang lebih komprehensif dalam pasaran modal dan sektor kewangan dalam usaha untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang semakin berkembang,” katanya.

Beliau turut menggesa industri untuk mengambil lebih banyak inisiatif untuk membina tenaga kerja mengikut kehendak mereka sendiri dengan bekerjasama rapat dengan universiti dan persatuan profesional lain untuk membolehkan firma dan persatuan industri membangunkan kursus untuk membentuk generasi perancang kewangan yang akan datang dan memastikan aliran berterusan untuk tenaga kerja tempatan berkualiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

Melalui kaedah ini, katanya, industri akan dapat menyediakan generasi tenaga kerja yang akan datang, memastikan kemampanan dan kesinambungan industri perancangan kewangan Malaysia.

Awang Adek berkata, prestasi pasaran modal dalam masa terdekat akan terus bergantung kepada perkembangan global dan domestik utama, terutamanya perkembangan geopolitik, keadaan monetari global dan pendapatan korporat.

Isyarat inflasi yang menyederhana di seluruh dunia telah membawa kepada perubahan jangkaan bahawa bank pusat utama semakin hampir menamatkan kitaran memperketat dasar monetarinya dan menyokong harga aset kewangan, katanya.

Beliau berkata, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan Bank Pusat Eropah (ECB) pula menaikkan kadar masing-masing sebanyak 25 mata asas pada Julai dan membuka ruang kepada kenaikan selanjutnya, namun memberikan bayangan bahawa kadar dasar kedua-duanya mungkin telah mencapai paras kemuncak.

Beliau berkata, di peringkat domestik, situasi ini dilihat lebih jelas susulan pelancaran kerangka Ekonomi Madani oleh kerajaan.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia meneruskan laluan pemulihan pasca pandemik Covid-19 dengan pengembangan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ke tahun sebanyak 4.2 peratus pada separuh pertama 2023 berikutan pasaran buruh yang semakin baik, permintaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan aktiviti pelancongan.

Berbanding dengan tahap sebelum pandemik, ketika ini ekonomi Malaysia melebihi enam peratus di atas paras KDNK sebenar pada 2019 dan dijangka kekal pada laluan pertumbuhan yang stabil antara 4 dan 5 peratus pada 2023, katanya.

"Inisiatif di bawah kerangka Ekonomi Madani dijangka menambah baik keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia dan menarik aliran masuk lebih besar serta pelabur asing ke pasaran modal domestik. Ini kemudiannya akan menyediakan peluang lebih baik kepada perancang kewangan untuk mengembangkan asas pelanggan mereka serta membolehkan pelanggan sedia ada meningkatkan kekayaan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji dasar untuk memudahkan dan menarik minat penubuhan pejabat keluarga di Malaysia dengan hasrat menarik kumpulan pelabur yang lebih luas bagi menyokong pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana dan ekonomi baharu.

"Pejabat keluarga ini akan memerlukan nasihat pakar dalam rangkaian meluas pelaburan dan perkhidmatan, antaranya, daripada pelaburan tradisional sehinggalah kepada cukai dan perancangan harta pusaka.

"Perancang kewangan berlesen ditempatkan dengan tersendiri untuk memanfaatkan peluang berharga ini untuk memberikan perkhidmatan kepada pejabat keluarga yang menyasarkan penubuhan operasi di Malaysia,” katanya. - Bernama