Presiden ISTAF, Charouck meninggal dunia

Charouk Arrirachakaran meninggal dunia pada usia 91 tahun. - Foto: ACTION IMAGES
Charouk Arrirachakaran meninggal dunia pada usia 91 tahun. - Foto: ACTION IMAGES
A
A
A

ARENA sepak takraw dunia menerima perkhabaran duka susulan pemergian Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Charouck Arirachakaran, yang meninggal dunia di kediamannya di Bangkok pada Isnin.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, mendiang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 91 tahun pada kira-kira jam 4 petang tadi (waktu tempatan) akibat sakit tua.

"Beliau merupakan seorang yang gigih dalam menubuhkan ISTAF dan akhirnya melancarkannya pada 1992. Kami bersama-sama dalam jawatankuasa mengelola ISTAF dan jasa beliau akan sentiasa diingati.

"Beliau adalah seorang pemimpin berwawasan, penyokong gigih untuk sukan itu dan penggerak di sebalik perkembangan sukan itu di peringkat antarabangsa. Pemergiannya amat dirasai di seluruh dunia sepak takraw,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain sebagai Presiden ISTAF, Charouck, yang dilahirkan pada 9 Disember 1932, juga menerajui Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) bermula 1987 selain menyandang jawatan sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) sejak 1995.

Charouck menerajui ISTAF sejak penubuhannya pada Mac 1992 di Bangkok manakala sebagai Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bermula 15 Disember 1985. - Bernama

Artikel Berkaitan: