Sepak takraw kekal dalam tiga Sukan Asia

Abdul Halim (empat dari kiri) berbual dengan Sheikh Talal ketika kunjungan hormat di Bangkok pada Ahad. -Foto ASTAF
Abdul Halim (empat dari kiri) berbual dengan Sheikh Talal ketika kunjungan hormat di Bangkok pada Ahad. -Foto ASTAF
A
A
A

PRESIDEN baharu Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Talal Al-Fahad Ahmad Al-Sabah memberi jaminan bahawa sepak takraw akan kekal dipertandingkan dalam tiga Sukan Asia akan datang iaitu Nagoya 2026, Qatar 2030 dan Riyadh 2034.

Jaminan tersebut diberikan pemimpin dari Kuwait itu kepada Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Abdul Halim Kader yang mengadakan kunjungan hormat terhadapnya di Bangkok pada Ahad.

“OCA (menerusi Presiden baharunya) telah mengesahkan bahawa sepak takraw akan ada dalam Sukan Asia Nagoya 2026, Doha 2030 dan Riyadh 2034.

“Ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada sukan sepak takraw,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kunjungan tersebut turut mencatat Halim sebagai pemimpin sukan pertama yang berbuat demikian ekoran kemenangan Sheikh Talal, 58, dalam pemilihan penggal 2022-2027 sempena Perhimpunan Agung OCA Ke-42 di ibu kota Thailand itu pada Sabtu.

Halim berkata, ASTAF dan ISTAF mengucapkan tahniah atas kejayaan beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kuwait setelah menewaskan rakan senegara Ketua Pengarah OCA, Husain Al-Musallam 24-20 undi.

Bapa Talal, Sheikh Fahad Al-Ahmed Al-Jaber Al-Sabah ialah pengasas OCA pada 16 November 1982 yang turut menerajuinya sehingga 2 Ogos 1990 apabila terbunuh pada hari pertama penaklukan Iraq terhadap Kuwait.

“ASTAF telah menjadi rakan OCA sejak 1986 di bawah kepemimpinan Sheikh Fahad malah kemasukan sepak takraw kali pertama ke Sukan Asia Beijing 1990 ialah atas kepercayaan beliau terutama dalam menggalakkan sepak takraw kepada golongan belia di Asia.

“Sejak itu, sepak takraw berkembang pesat dan terus dipertandingkan pada Sukan Asia Hiroshima 1994, Bangkok 1998, Busan 2002, Doha 2006, Guangzhou 2010, Incheon 2014 dan Jakarta-Palembang 2018 serta Hangzhou 2023,” katanya.

Halim menjelaskan ISTAF dan ASTAF akan terus bekerjasama rapat dengan OCA di bawah kepemimpinan baharu Talal untuk terus menyokong dalam memartabatkan sukan sepak takraw di pentas antarabangsa.