Atlet sepak takraw dibuli senior

Pihak sekolah juga telah mengambil langkah awal untuk menangani dan mencegah kes buli berlanjutan kepada mangsa-mangsa lain. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Khairudin
Pihak sekolah juga telah mengambil langkah awal untuk menangani dan mencegah kes buli berlanjutan kepada mangsa-mangsa lain. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Khairudin
A
A
A

IPOH - Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di daerah Kinta cedera dibuli pelajar Tingkatan Lima sekolah yang sama dalam kejadian pada 24 Julai lalu.

Perkara itu disahkan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah yang memaklumkan kejadian terbabit masih di dalam siasatan pihak berkaitan.

Menurutnya, beliau difahamkan laporan polis juga sudah dibuat oleh penjaga mangsa di sebuah balai polis di Kuala Kuala Lumpur dan mangsa kini diberikan cuti sementara bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Saya difahamkan pihak sekolah telah pun mendapatkan laporan penuh daripada mangsa dan juga pelaku yang merupakan atlet sepak takraw. Kita tunggu lah laporan penuh itu untuk kita memastikan kronologi kejadian buli itu sebenarnya.

"Tapi kejadian itu memang berlaku. Cuma dari segi tahap kecederaan itu, kita bergantung kepada pemeriksaan daripada pihak kesihatan," katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Kit Kesihatan Pergigian Murid Negeri Perak di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Rabu.

Khairudin berkata, difahamkan mangsa ditendang dan dipijak oleh pelaku berdasarkan laporan awal yang diterima tetapi tahap kecederaan tidak diketahui sama ada serius atau sebaliknya.

Menurutnya, pihak sekolah juga sudah mengambil langkah-langkah awal untuk menangani dan mencegah kes buli berlanjutan kepada mangsa-mangsa lain.

Jelasnya, dari segi hukuman pula, ia bergantung kepada keputusan siasatan dan bukan terus mengenakan hukuman gantung sekolah kepada pelaku.