Kon Yeow dijangka menghadap Yang di-Pertua Negeri 27 Jun

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

BUTTERWORTH - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bercadang untuk menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 27 Jun bagi mendapat perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata, sekiranya semua berjalan lancar, pembubaran DUN dijadualkan pada 28 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kita bercadang 27 Jun ini untuk memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama (Tun Ahmad Fuzi) bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan (28 Jun) untuk memberi laluan kepada PRN," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Senagin, di sini pada Selasa.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH memenangi 37 kerusi termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersamanya manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan PAS.

Pada PRU15, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tidak membubarkan DUN masing-masing. - Bernama