[VIDEO] Polis tahan dua lelaki, rampas 18,000 pil yaba

Muhamad Zaki (dua,kanan) menunjukkan pil yaba yang dirampas di Jalan Rantau Panjang, Pasir Mas pada Ahad.
Muhamad Zaki (dua,kanan) menunjukkan pil yaba yang dirampas di Jalan Rantau Panjang, Pasir Mas pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya menggagalkan tindakan dua lelaki membawa bekalan dadah kepada 18,000 penagih di Jalan Rantau Panjang, Pasir Mas pada Ahad.

Kedua-dua lelaki yang juga penganggur berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan pada jam 4.15 pagi dan salah seorang daripada mereka merupakan warga Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas motosikal jenis Honda Vario yang dinaiki mereka membawa kepada penemuan satu plastik warna ungu.

"Di dalamnya terdapat empat bungkusan kertas warna coklat disyaki berisi pil yaba berjumlah 18,000 biji bernilai RM180,000.

"Bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan serta Lembah Klang," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini pada Selasa.

Menurut beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.