MGB kekal prestasi positif suku pertama, kedua 2023

Lim Hock San
Lim Hock San
A
A
A

ANAK syarikat LBS Bina Group Berhad, MGB Berhad yang terlibat dalam solusi pembinaan dan pembangunan hartanah mencatatkan pendapatan suku kedua bagi kewangan berakhir 31 Disember ini sebanyak RM233 juta, dengan keuntungan selepas cukai RM 12.41 juta berbanding RM170,000 pada tahun sebelumnya.

Pendapatan kukuh itu dijana daripada projek seperti Idaman BSP menerusi Rumah Idaman MBI selain KITA Mekar dan KITA Mesra di bawah perbandaran KITA @ Cybersouth.

MGB Berhad juga berjaya mengoptimumkan kos pembinaan di dalam persekitaran perniagaan yang mencabar, sekaligus menyumbang kepada keuntungan tersebut.

Segmen pembinaan dan perdagangan kekal sebagai keuntungan utama yang menyumbang pendapatan sebanyak RM388 juta iaitu peningkatan RM84 juta berbanding RM304 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Segmen Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) bagi tempoh kewangan semasa mencatatkan sebanyak RM30 juta berbanding suku tahun sebelumnya iaitu RM 14 juta.

Dengan memanfaatkan penggunaan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalaman yang dibangunkan dengan kukuh dan stabil, MGB Berhad berjaya mengekalkan kecekapan operasi serta membantu MGB untuk laporan margin yang lebih baik.

Tambahan pula, produk konkrit pratuang turut menunjukkan prestasi cemerlang dengan menjana pendapatan kira-kira RM29.20 juta bagi suku itu.

Sektor pembangunan hartanah juga menunjukkan prestasi yang baik dengan peningkatan keuntungan sebanyak RM14.02 juta daripada RM8.44 juta pada suku tahun sebelumnya kepada RM22.46 juta melibatkan empat projek iaitu Idaman Melur, Cybersouth dengan 1,448 unit, Idaman Cahaya Fasa 1 (568 unit), Idaman Sari (513 unit) dan Pangsapuri Saujana Indah Fasa 1 (595 unit).

Artikel Berkaitan:

Segmen PBT bagi suku semasa dicatatkan sebanyak RM4 juta berbanding suku tahun sebelumnya iaitu RM 0.68 juta.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya gembira dengan keputusan baik yang konsisten bermula daripada suku pertama tahun ini.

“Buku pesanan pembinaan tertunggak (termasuk projek dalaman MGB) yang berjumlah RM 1.87 bilion dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM 2.34 bilion daripada sembilan projek yang dibilkan di bawah segmen pembangunan hartanah, kekal stabil dan mampu mengekalkan trajektori pertumbuhan MGB untuk baki tahun ini.

“Usaha sama terbaharu kami di Arab Saudi bersama Sany Alameriah Industrial merupakan kemuncak perniagaan dengan pemeteraian Perjanjian Usahasama di antara kedua-dua pihak yang berlangsung pada 27 Julai lalu.

“Dengan usaha sama ini, kami berharap untuk melebarkan sayap dan jenama MGB di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu ujar beliau, projek Rumah Idaman MBI terus mendapat sambutan menggalakkan terutamanya Idaman Cahaya Fasa 2 yang dilancarkan baru-baru ini.

Tambahnya, perkembangan positif itu turut menyumbang kepada pendapatan syarikat bagi suku akan datang.

“Kami kekal optimis dan berhati-hati dalam setiap urus niaga untuk baki tahun 2023 dan gembira dengan pencapaian prestasi syarikat pada separuh pertama.

“Di sebalik jangkaan Bank Dunia bahawa pertumbuhan global akan bergerak perlahan dengan ketara pada kadar 2.1 peratus tahun ini, keuntungan bagi separuh tahun pertama sangat memberangsangkan.

“MGB menyasar untuk terus mengekalkan prestasi kukuh pada separuh tahun kedua 2023,” kata beliau.