KDNK suku pertama 2023 berkembang sederhana pada 5.6 peratus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pertumbuhan pada 2023 disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang meningkat, aktiviti pelaburan yang berterusan, pasaran buruh yang bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.

Pada asas pelarasan secara bermusim, katanya ekonomi telah pulih kepada paras sebelum pandemik.

"Pasaran buruh terus kukuh pada suku pertama 2023 dan dijangka kekal menyokong permintaan dalam negeri.

"Seluruh ekonomi tidak lagi berada dalam krisis dan, malah, terus mendapat kekuatan," katanya ketika mengumumkan prestasi suku pertama 2023 di sini hari ini.

Nor Shamsiah berkata, pada suku pertama 2023, penggunaan swasta meningkat sebanyak 5.9 peratus, pelaburan swasta (4.7 peratus) dan pelaburan awam (5.7 peratus), bagaimanapun, penggunaan awam merosot 2.2 peratus berikutan perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan yang rendah.

Walaupun eksport serantau terus menguncup berikutan permintaan terhadap barangan yang rendah, katanya eksport bersih Malaysia meningkat 54.4 peratus pada suku pertama 2023 berikutan pemulihan yang berterusan dalam aktiviti pelancongan.

Dari segi sektor, beliau berkata, sektor perkhidmatan merupakan pemacu utama ekonomi, meningkat 7.3 peratus pada suku pertama 2023 disokong oleh aktiviti perkhidmatan berkaitan pengguna dan perniagaan.

Sektor pembuatan naik 3.2 peratus pada suku pertama, pertanian (0.9 peratus), perlombongan (2.4 peratus) dan pembinaan (7.4 peratus), katanya.

Kadar pengangguran bertambah baik pada suku pertama 2023, berkurangan kepada 3.5 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2022.

"Kadar pengangguran bertambah baik secara berperingkat kepada paras sebelum pandemik, didorong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil, sejajar dengan aktiviti ekonomi yang meningkat. Ekonomi akan mencapai guna tenaga penuh pada akhir tahun ini," katanya.

Bagi akaun semasa, Nor Shamsiah berkata, ia menyumbang 1.0 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2023 atau bernilai RM4.3 bilion berbanding 5.9 peratus (RM27.5 bilion) pada suku keempat 2022 berikutan lebihan barangan yang kecil berdasarkan permintaan luar yang sederhana.

Mengenai pelaburan, katanya pelaburan dalam projek infrastruktur yang besar sedang berjalan tanpa penangguhan, termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM12 bilion pada suku pertama 2023 berbanding RM19.2 bilion pada suku keempat 2022, yang sebahagian besarnya disalurkan kepada subsektor perkhidmatan kewangan serta perkhidmatan perlombongan dan pembuatan.

Berhubung inflasi, Nor Shamsiah berkata, inflasi keseluruhan turun kepada 3.4 peratus pada suku pertama 2023 sejajar dengan keadaan bekalan dan kos yang sederhana manakala inflasi teras merosot kepada 3.8 peratus tetapi kekal tinggi, mencerminkan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

"Inflasi teras semasa kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, walaupun kos mula sederhana, aktiviti ekonomi yang kukuh terus menjana tekanan didorong oleh permintaan yang telah mengekalkan kadar inflasi tinggi.

"Kita boleh melihat perkara ini di luar petunjuk permintaan yang konvensional seperti dalam perdagangan runcit dan data perbelanjaan kad kredit atau malah apabila kita pergi ke pusat beli-belah dan restoran, melihat barisan panjang dan kesesakan lalu lintas," katanya.

Beliau berkata, ringgit telah menunjukkan prestasi yang stabil pada suku pertama 2023 walaupun sentimen berubah mengenai prospek ekonomi global dan ia terus didorong oleh perkembangan dolar Amerika Syarikat (AS).

Mata wang tempatan naik 0.1 peratus berbanding dolar AS pada suku tahun tersebut. - Bernama