Pemain JDT berkualiti tinggi

Bergson Da Silva (kanan) bersama Takahiro Kunimoto (kiri) meraikan jaringan JDT pertama ketika menentang Kelantan FC pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - Foto: Bernama
Bergson Da Silva (kanan) bersama Takahiro Kunimoto (kiri) meraikan jaringan JDT pertama ketika menentang Kelantan FC pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

KEMENANGAN 10-0 ke atas Kelantan FC (agregat 15-1) pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu membuktikan kesemua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berkualiti tinggi dan sentiasa bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa.

Menurut penyerang import, Bergson Da Silva, biarpun dibarisi pemain-pemain yang jarang beraksi musim ini, namun skuad Harimau Selatan itu masih mampu mencatatkan kemenangan besar sekali gus mengesahkan slot ke saingan suku akhir.

"Walaupun beberapa pemain utama direhatkan, kita dapat lihat kombinasi yang menarik malam ini dan ia membuktikan kesemua pemain JDT berkualiti tinggi dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa sahaja.

"Kemenangan ini juga adalah hasil kerja keras setiap pemain semasa sesi latihan dan mereka (pemain) berjaya menterjemahkan komitmen sama ketika beraksi.

“Kita boleh lihat disiplin yang dipamerkan mereka dan ia membuktikan kemampuan kita yang sebenar kerana sejak bersama JDT, saya tidak pernah berhasrat untuk mengejar apa-apa gelaran kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana untuk membantu rakan sepasukan serta JDT beraksi dengan lebih baik,” katanya pada Sabtu.

Untuk rekod, Bergson turut meledak hatrik ketika bedepan Kelantan FC bagi memastikan JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan penuh bergaya.

Dalam pada itu Bergson mengakui tidak menyangka akan membantu skuad Harimau Selatan itu merekodkan kemenangan terbesar musim ini ketika berdepan Kelantan FC.

Malah katanya, sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional, pasukan yang diwakilinya tidak pernah merekodkan kemenangan sebegini besar.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah kali pertama dalam karier saya di mana saya membantu pasukan menewaskan lawan dengan jaringan sebesar ini, ini adalah hasil dedikasi setiap pemain yang dahagakan kemenangan," katanya.

"Ini adalah satu keputusan yang luar biasa dan JDT telah melakukan tugas menakjubkan, saya juga terkejut kerana ketika bertemu di mereka pada aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, mereka beraksi dengan baik.

"Bagaimanapun, kini kita sudah berada di suku akhir dan kami bersedia untuk cabaran seterusnya dan akan cuba sedaya upaya memberikan segalanya untuk memenangi satu lagi trofi pada musim ini,” katanya.