Cadang Konvensyen Kerajaan Perpaduan di 6 negeri hadapi PRN

Ahmad (empat dari kiri) hadir Sambutan Hari Raya Aidilfitri gabungan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian pada Selasa.
Ahmad (empat dari kiri) hadir Sambutan Hari Raya Aidilfitri gabungan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian pada Selasa.
A
A
A

PONTIAN - Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri wajar diadakan di enam negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, konvensyen berkenaan dapat membentuk keserasian antara parti di dalam kerajaan Perpaduan sekali gus membantu memberikan kemenangan pada PRN kelak.

"Cadangan untuk mengadakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri perlu diberikan keutamaan kepada Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

"Saya difahamkan ada negeri yang hendak bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jun ini. Bererti PRN mungkin akan diadakan pada Julai atau awal Ogos nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri gabungan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian, di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan diadakan di peringkat negeri kerana ia berjaya mewujudkan keserasian antara pelbagai parti.

Presiden UMNO itu menjelaskan sekiranya langkah itu diambil, akar umbi semua parti dalam kerajaan perpaduan turut dapat memberikan pandangan.

Tambah Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, menerusi konvensyen berkenaan banyak perkara dapat dibincangkan bagi mencari titik persamaan dalam soal agihan kerusi dan gerak kerja.

"Kejayaan penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, Ahad lepas mencerminkan dinamika politik baharu

"Oleh itu amat wajar, usaha baik ini diteruskan di negeri-negeri yang akan berdepan PRN dan diteruskan ke negeri-negeri lain seperti Johor, Perak, Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak," katanya.