Luqman kosongkan jawatan Ketua Penerangan Muda

Luqman Long
Luqman Long
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Luqman Long mengesahkan telah mengosongkan jawatan Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) semasa mesyuarat parti berkenaan pada Jumaat.

Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan ikrarnya sebelum ini untuk melepaskan jawatan sekiranya gagal mendapatkan semula deposit dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar pada 12 Ogos lepas.

"Terima kasih Muda. Saya telah mengosongkan jawatan Ketua Penerangan Muda pada mesyuarat parti semalam di Bilik Gerakan Muda, Petaling Jaya, Selangor.

"Penerangan Muda adalah biro yang paling rencam dan aktif, menguruskan tiga siri pilihan raya dan urus tadbir yang disokong misi raih dana.

"Untuk Muda, cabaran besar baru bermula. Fokus kepada budaya kerja yang cemerlang, politik baru yang matang dan angkat lebih ramai orang muda untuk memimpin," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Luqman turut berterima kasih atas kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan parti berkenaan.

"Terima kasih atas amanah dan tanggungjawab yang dihulur kepada saya. Kerja sungguh-sungguh!" ujarnya.

Pada 31 Julai lepas, Luqman yang juga calon Muda di DUN Bandar memaklumkan bahawa beliau bersedia melepaskan jawatan dalam kepimpinan parti jika gagal mendapatkan semula deposit dalam PRN.

Artikel Berkaitan:

Luqman berani berikrar secara terbuka untuk melepaskan jawatan kerana serius mahu menggalas cabaran bertanding sebagai calon di Terengganu.

Pada 12 Ogos lepas, percubaan sulung Luqman untuk berada di DUN Bandar gagal apabila hanya memperoleh 372 undi.

DUN Bandar kekal milik Pas menerusi penyandang, Ahmad Shah Mohamed yang turut menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Armi Irzan Mohd dengan majoriti 2,364 undi.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya akan kotakan janji lepas jawatan Muda' - Luqman

Luqman mahu bawa suara rakyat, tawar pilihan terbaik

Calon Muda DUN Bandar bersedia lepas jawatan