Luqman, Nooa Laine perkuat Harimau Muda

Gambar dari kiri: Luqman, Nooa - Foto Agensi
Gambar dari kiri: Luqman, Nooa - Foto Agensi
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi isyarat bahawa skuad Bawah 23 Tahun (B-23) akan diperkuat dua pemain muda berpangkalan di luar negara menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand September ini.

Ia selepas badan induk itu mengesahkan dua pemain berpangkalan di luar negara iaitu penyerang, Luqman Hakim Shamsudin dan pemain tengah kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine dapat dilepaskan kelab masing-masing untuk menyertai skuad Harimau Muda bimbingan E. Elavarasan.

Luqman Hakim, 21, beraksi untuk kelab Iceland, Njardvik FC sementara Nooa, 20, bermain bersama kelab Finland, SJK Seinajoki.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pusingan kelayakan itu mustahak dan berlangsung dalam jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"FAM sudah berhubung dengan Luqman Hakim dan Nooa. Dua pemain ini memang dapat dilepaskan kali ini, jadi FAM harap skuad B-23 dapat bentuk pasukan yang mantap untuk pusingan kelayakan akan datang," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Pada pusingan kelayakan itu, skuad B-23 kebangsaan diundi dalam Kumpulan H bersama pasukan tuan rumah, Thailand, Bangladesh dan Filipina.

Juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir tahun depan yang merupakan pentas merebut tiket beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata beliau telah berjumpa dengan Elavarasan dan meminta jurulatih berusia 61 tahun itu meningkatkan prestasi pasukan.

Menjelang Kejohanan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2023 yang akan berlangsung di Chonburi pada Ogos ini, Hamidin berpendapat anak buah Elavarasan sekurang-kurangnya perlu mara ke peringkat separuh akhir.

"Tetapi kena ingat kejohanan B-23 AFF bukan dalam kalendar FIFA, ramai pemain tidak akan dilepaskan (kelab) jadi dia (Elavarasan) akan cuba pemain yang tidak terlibat dengan aksi Liga Malaysia," katanya.

Baru-baru ini, pada Sukan SEA 2023 di Kemboja yang tidak berada dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA, skuad B-23 kebangsaan tersingkir seawal peringkat kumpulan sekali gus gagal mencapai sasaran layak ke final temasya sukan dwitahunan itu.

Sebelum itu, Elavarasan membimbing pasukan berkenaan untuk muncul juara Piala Merlion di Singapura, Mac lepas. - Bernama