Calon Muda DUN Bandar bersedia lepas jawatan

Luqman (tengah) ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Muda 2023 di Kuala Lumpur pada Ahad.
Luqman (tengah) ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Muda 2023 di Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bersedia melepaskan jawatan dalam kepimpinan parti jika gagal mendapatkan semula deposit dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar pada 12 Ogos ini.

Luqman Long yang juga Ketua Penerangan Muda berkata, beliau berani berikrar secara terbuka untuk melepaskan jawatan kerana serius mahu menggalas cabaran bertanding sebagai calon di Terengganu.

"Saya masuk bertanding PRN dengan satu matlamat iaitu mahu menang dan berada dalam barisan kepimpinan DUN di Terengganu selepas ini.

"Apa yang saya nyatakan ini menunjukkan saya benar-benar serius masuk bertanding di Terengganu, bukan untuk main-main atau sekadar masuk untuk pecah undi," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Menurut Luqman, ahli dan penyokong akar umbi Muda tidak perlu mempersoalkan kesetiaannya terhadap parti sekiranya Muda hilang deposit pada PRN kali ini.

"Ada jawatan atau tidak, saya akan tetap bersama-sama terus berjuang dalam parti untuk memastikan negara kita mempunyai tadbir urus yang baik, telus dan jujur seperti mana yang diimpikan Muda selama ini.

"Komitmen ini juga adalah satu mesej kepada calon lain bahawa setiap satu ruang dan peluang untuk kamu wakili parti, gunalah peluang itu betul-betul," katanya.

Luqman merupakan satu-satunya calon parti Muda yang bertanding di Pantai Timur pada PRN kali ini.

Beliau menyatakan janji mahu melepaskan jawatan sekiranya gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Berdasarkan statistik jumlah pengundi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Bandar merekodkan seramai 22,057 pengundi terdiri daripada 14,698 (Melayu), 6,951 (Cina), 259 (India) dan selebihnya adalah lain-lain bangsa.

PRN kali ini menyaksikan DUN Bandar berdepan pertembungan tiga penjuru antara Luqman yang menentang penyandang, Ahmad Shah Mohamed daripada Pas dan calon Barisan Nasional (BN) Armi Irzan Mohd.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Bandar dimenangi oleh Ahmad Shah yang menewaskan penyandang sebelum itu, Azan Ismail (PH) dan Toh Seng Cheng (BN) dengan majoriti 2,091 undi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!