Masjid jana pendapatan puluhan ribu melalui koperasi

Amzah (kiri) ketika mengiringi Hafizal (tiga dari kiri) melawat gerai-gerai niaga yang diwujudkan di Masjid Nur Sa'adah Pengkalan Batu di sini, pada Sabtu.
Amzah (kiri) ketika mengiringi Hafizal (tiga dari kiri) melawat gerai-gerai niaga yang diwujudkan di Masjid Nur Sa'adah Pengkalan Batu di sini, pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Koperasi Pengkalan Batu Berhad (Kopaba) di bawah Masjid Nur Sa'adah Pengkalan Batu di sini, berjaya meraih pendapatan puluhan ribu menerusi aktiviti perniagaan.

Pengerusi masjid yang juga Pengerusi Kopaba, Datuk Amzah Osman berkata, meskipun keluasan tanah masjid begitu terhad, namun dapat dimanfaatkan dengan mewujudkan kawasan parkir untuk pekerja kilang berdekatan meletakan kenderaan selain membina 16 tapak niaga dalam kawasan masjid.

Menurutnya, seramai 190 ahli koperasi berdaftar menerima dividen tahunan sebanyak 10 peratus sejak dua tahun lalu, sebelum jumlah dividen meningkat kepada 30 peratus bermula tahun ini.

Malah katanya, sebanyak 30 peratus daripada pendapatan yang dijana oleh koperasi diberikan kepada pihak masjid sebagai pulangan kerjasama.

"Kita nak masjid ini dijadikan pusat sehenti, bukan sahaja tempat orang ramai mencari ilmu akhirat tapi juga merancakkan ekonomi setempat.

"Pada mulanya rasa sukar untuk kita laksanakan, tapi dengan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk lembaga masjid dan kariah dapat mewujudkan koperasi serta menambahkan wang dalam tabung masjid," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyampaian hadiah cabutan bertuah dah Hari Bertemu Pelanggan Coop Mart Kopaba di Pengkalan Batu di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Institusi Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Selatan, Hafizal Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Batu, Md Derus Tompang berkata,, kewujudan pusat niaga itu dapat meningkat ekonomi sekali gus membantu menyalurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 72 buah keluarga terdiri dalam kalangan golongan B40 dan asnaf diberikan barangan keperluan harian dianggarkan bernilai RM200 pada setiap bulan.

"Dengan adanya pendapatan sendiri kita dapat bantu mereka yang susah dan hasrat kita untuk membasmi kemiskinan dalam kawasan JPKK Pengkalan Batu," katanya

Pada program itu turut disampaikan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal kepada pemenang yang membeli-belah di kedai koperasi itu.