Seni mampu jana pendapatan

Kejayaan lima usahawan seni budaya cetus inspirasi dan kebanggaan buat negara

A
A
A

Arjunasukma Abe Yie mengambil pendekatan dengan menyelitkan unsur kreativiti dalam persembahannya.
Arjunasukma Abe Yie mengambil pendekatan dengan menyelitkan unsur kreativiti dalam persembahannya.

SIAPA kata seni persembahan tidak berupaya mendatangkan apa-apa keuntungan kepada diri dan negara?

Jangan terlalu skeptikal dan memperkecilkan potensi karyawan tanah air kerana mereka mampu mencorak masa depan lebih cerah sekali gus menjana pendapatan lumayan.

Ini terbukti dengan kejayaan lima usahawan seni budaya antaranya merupakan graduan Industry Lead Body (ILB) Seni Budaya di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya lantikan ILB oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Mereka antara 333 penerima Sijil Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen ILB Seni Budaya tahun 2022 di MOTAC.

Kisah Arjunasukma Abe Yie, Abishegam Thiyagadass, Kerol Mohtar, Wong Kit Yaw dan Tini Tyrani Adurahman mampu membuatkan anda bangga dengan pencapaian luar biasa mereka.

Berfikiran di luar kotak

Berani dan berfikiran di luar kotak! Demikian kriteria mengagumkan yang ditonjolkan usahawan seni budaya, Arjunasukma Abe Yie yang juga pengasas Akademi Arjunasukma.

Bermula dengan seni tradisional Dikir Barat seawal usia 10 tahun, portfolio anak jati Kelantan itu juga cukup membanggakan apabila menerima Anugerah Bakat Muda Seni JKKN dan Anugerah Bakat Seni Majlis Belia Malaysia.

Menurut beliau, pengalaman selama empat tahun sebagai koordinator Dikir Perdana di Kelantan dan melalui rancangan Karoot Komedia juga banyak mendedahkan strategi dalam perniagaan.

Sokongan JKKN membuatkan Abishegam bersemangat untuk mempromosikan tarian dan muzik tradisional India di persada dunia.
Sokongan JKKN membuatkan Abishegam bersemangat untuk mempromosikan tarian dan muzik tradisional India di persada dunia.

“Perniagaan dan seni merupakan dua cabang yang berbeza. Mahu menjual seni lebih-lebih lagi seni tradisional, begitu mencabar. Apatah lagi generasi masa kini sukar untuk menerima karya tersebut.

“Disebabkan itu, saya mengambil pendekatan dengan menyelitkan unsur kreativiti dalam persembahan kerana keunikan tersebut perlu digabungkan dengan nilai semasa,” kata Pengasas Arjunasukma itu.

Pencapaian Abishegam Thiyagadass, pemuzik klasik India juga tidak kurang hebatnya sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat.

Beliau yang juga salah seorang Pengasas Organisasi Seni Unique Arts Academy bersama Puan V.Savithri itu sudah menunjukkan minat dalam bidang muzik seawal usia lima tahun.

Selain mahir bermain sitar dan sape, Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) bidang muzik itu juga memiliki kemahiran mengendalikan alat muzik dalam kategori string instrument dan percussion instrument.

Menurut Abishegam, sokongan semua pihak termasuk JKKN membuatkan Unique Arts Academy bersemangat untuk mempromosikan tarian dan muzik tradisional India di persada dunia.

Empunya nama Khairul Azhar Mohtar atau dikenali sebagai Kerol Mohtar merupakan koreografer dan Pengarah Artistik Nyala Dance Theatre yang ditubuhkannya sejak tahun 2009.

Menambah kemahiran

Beliau sudah berkecimpung dengan seni tari sejak tahun 1989 dan kemudian menyambungkan pengajian diploma di Fakulti Seni Persembahan UiTM untuk menambah kemahiran serta pengalaman.

Kerol Mohtar berpendapat seni merupakan satu cabang kerjaya yang dapat dikongsikan dengan masyarakat.
Kerol Mohtar berpendapat seni merupakan satu cabang kerjaya yang dapat dikongsikan dengan masyarakat.

Sentuhan beliau sebagai koreografer juga menonjol dalam filem tempatan seperti Pontianak Harum Sundal Malam 2, produksi teater Muzikal P. Ramlee dan Muzikal Puteri Gunung Ledang.

Kata graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Tari Universiti Malaya itu, seni merupakan satu cabang kerjaya yang dapat dikongsikan dengan masyarakat kerana ia mempunyai nilai sebagai sumber pendapatan.

“Nyala Dance Theatre merekodkan kejayaan dengan memenangi persembahan di Rusia dan Indonesia selain diundang sebagai koreografer persembahan di negara jiran seperti Singapura,” ujarnya.

Bagi pengiat seni tarian tradisional Cina yang sudah berpengalaman lebih 30 tahun, Wong Kit Yaw berpandangan bahawa seni budaya tradisional tidak boleh ditukar sesuka hati, tetapi perlu ada ilmu pengetahuan.

Saran beliau, anak muda yang mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan seni perlu membuat kajian tentang industri seni atau kehendak komuniti dan penonton.

“Seni bukan ‘syok’ sendiri tetapi perlu memahamkan penonton. Apabila penonton suka, barulah boleh dibuat perniagaan secara komersial untuk mengekalkannya,” nasihat Koreografer dan Pengarah Artistik The Performing Arts of Todern itu.

Ujar pemegang diploma di Nanyang Academy of Fine Arts Singapura itu, elemen kreatif, teknologi, penggunaan props pelbagai warna dan corak antara rahsia yang mendorong persembahan The Performing Arts of Todern kekal laris di pasaran.

Tini Tyrani mencabar diri dalam bidang pengarahan dan mengikuti kursus anjuran JKKN bagi melayakkan diri sebagai jurulatih teater.
Tini Tyrani mencabar diri dalam bidang pengarahan dan mengikuti kursus anjuran JKKN bagi melayakkan diri sebagai jurulatih teater.

Pementasan teater menjadi tapak permulaan kerjaya buat Hartini Adurahman atau nama komersial beliau, Tini Tyrani di Sarawak sejak tahun 1998.

Bermula daripada minat, karier beliau semakin memuncak hingga dinobatkan sebagai Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Teater Nasi Tarik Teh Ayam naskhah Zakaria Hassan pada tahun 2005.

Pada tahun 2015, beliau menerima Anugerah Pelakon Terbaik Keseluruhan Festival Teater (Teater ‘Puan Oi’) diikuti Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Teater Metamofosa Kosong pada tahun 2017.

Pemilik Tini Tyrani Event Management ini kemudian mencabar diri dalam bidang pengarahan dan mengikuti kursus anjuran JKKN bagi melayakkan diri sebagai Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) bidang teater.

Meskipun nampak laluan agak mudah, namun jurulatih teater itu berdepan cabaran apabila ayah beliau sendiri tidak memberi sokongan kerana mahu melihatnya bergelar guru atau polis.

Pun demikian, Tini Tyrani buktikan keupayaan satu demi satu dengan deretan pengiktirafan pentas dan kemunculan di akhbar dan stesen televisyen.

Kit Yaw menyarankan agar anak muda perlu membuat kajian tentang industri seni atau kehendak komuniti dan penonton.
Kit Yaw menyarankan agar anak muda perlu membuat kajian tentang industri seni atau kehendak komuniti dan penonton.