Ceupacs minta kerajaan perkenal sistem saraan baharu

Adnan (tiga dari kiri) ketika hadir pada majlis perhimpunan penjawat awam sempena Program Merdeka Madani Ceupacs 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat. - Foto Bernama
Adnan (tiga dari kiri) ketika hadir pada majlis perhimpunan penjawat awam sempena Program Merdeka Madani Ceupacs 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Penjawat awam di negara ini amat memerlukan sebuah sistem saraan baharu bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat.

Beliau menyifatkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002 bagaikan kerangka 'rumah lama' yang sudah tidak sesuai.

Katanya, antara faktor yang perlu diteliti bagi sistem baharu itu termasuk kos sara hidup masa kini, struktur jabatan serta skop kerja yang telah berubah dan tahap kelayakan bagi memasuki suatu skim perkhidmatan.

Bagaimanapun, Adnan berkata, Ceupacs memahami kerajaan memerlukan masa untuk memuktamadkan suatu sistem saraan baharu yang bersesuaian, justeru pihaknya memohon kerajaan agar melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada, seperti kenaikan elaun atau imbuhan tetap lain.

"Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana prihatin dengan permohonan kami antaranya dengan kenaikan gaji penjawat awam menjelang pembentangan Belanjawan negara pada Oktober akan datang. Kami zahirkan rasa terima kasih ini dengan produktiviti, kualiti dan integriti dalam kerja.

"Namun, kita mahukan sistem saraan baharu menggantikan SSM, tetapi jika kerajaan tidak mampu pada masa ini kita mohon kerajaan berikan kenaikan seperti imbuhan tetap lebih awal...” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Penjawat Awam Sempena Program Merdeka MADANI Ceupacs di sini pada Jumaat.

Pada 11 Ogos lepas, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, ia sebagai langkah sementara, sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, dijangka tahun depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: