Kes Ebit Lew: 436 gambar, teks mesej adalah tangkap layar

Ebit tiba di mahkamah bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit tiba di mahkamah bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Kesemua 436 gambar termasuk teks mesej yang diekstrak daripada telefon bimbit pengadu membabitkan kes pendakwah terkenal, Ebit Lew adalah gambar tangkap layar.

Gambar tangkap layar itu diperoleh daripada telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A31 yang dianalisis oleh Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintenden Latifah Abdul Aziz.

Latifah dalam pemeriksaan balas bersetuju dengan cadangan peguam yang mewakili Ebit, Ram Singh, bahawa semua 436 gambar termasuk teks mesej adalah tangkap layar daripada Samsung Galaxy A31.

Sebahagian gambar yang dipilih daripada 436 gambar dalam Samsung Galaxy A31 juga berkemungkinan dikacau ganggu sebelum tangkap layar dilakukan.

"Ya, ada kemungkinan," kata Latifah dalam prosiding yang dijalankan di Mahkamah Majistret Tenom pada Jumaat.

Sementara itu, merujuk kepada beberapa gambar tangkap layar yang dikemukakan Ram pada prosiding pada Jumaat terdapat enam gambar tangkap layar didapati tiada unsur seksual.

Sehubungan itu, Ram meminta penerangan daripada Latifah kenapa gambar berkenaan dipilih untuk dianalisis.

"Daripada hasil pemeriksaan dan analisis saya jalankan, memang ada beberapa gambar yang tidak mempunyai unsur seksual yang secara tidak sengaja dipilih semasa saya meneliti kesemua gambar-gambar tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya serahkan kepada pegawai penyiasat sekiranya diperlukan dan ianya terpulang kepada pengawai penyiasat sama ada gambar itu penting atau tidak," jelas Latifah.

Bagaimanapun, Latifah memberitahu mahkamah bahawa dia tidak tahu bahawa gambar nombor empat yang dipaparkan tidak releven dengan 11 pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Dalam perbicaraan Mei lalu, Latifah yang merupakan saksi ketujuh memberitahu mahkamah hasil daripada analisis yang diperolehnya daripada telefon bimbit Samsung Galaxy A31 selepas diekstrak ialah sebanyak 436 gambar, empat video daripada 8010 kandungan barang kes.

Sebelum itu, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili oleh barisan peguamnya iaitu Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Nizam Salleh Keruak manakala pihak pendakwaan dibarisi oleh Nor Azizah Mohamad serta Zahida Zakaria dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.