Perbicaraan kes Ebit Lew disambung September depan

Ebit bersama barisan peguamnya di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit bersama barisan peguamnya di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Perbicaraan kes pendakwah terkenal, Ebit Lew ditangguhkan pada Jumaat dan akan disambung semula pada September depan.

Perbicaraan akan datang dijadualkan pada 26 hingga 29 September dan saksi pendakwaan yang kelapan, iaitu pegawai penganalisis Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Yip Chang Ching dijangka akan memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria berkata, saksi ketujuh, Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM, Asisten Superintenden Latifah Abdul Aziz tidak dapat memberi keterangannya pada sesi akan datang kerana menghadiri kursus di luar negara pada tarikh yang sama.

"Saksi ketujuh telah memaklumkan kepada pihak pendakwaan bahawa saksi ada kursus di luar negara pada 11 hingga 25 September ini di Amerika Syarikat.

"Mohon untuk pihak pendakwaan dengan saksi seterusnya untuk pemeriksaan utama iaitu saksi kelapan Inspektor Yip Chang Ching," katanya dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom pada Jumaat.

Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan, mahkamah menetapkan bahawa saksi kelapan akan memberikan keterangan namun hanya untuk pemeriksaan utama sahaja.

Selain itu, sebarang bukti yang dikemukakan kepada mahkamah akan ditandakan sebagai bahan bukti.

Sebelum itu, mahkamah juga menetapkan tiga lagi tarikh perbicaraan iaitu pada 21 hingga 24 November, 9 hingga 12 Januari dan 13 hingga 16 Februari tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili oleh barisan peguamnya iaitu Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Nizam Salleh Keruak manakala pihak pendakwaan dibarisi oleh Nor Azizah Mohamad serta Zahida dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes Ebit Lew: 436 gambar, teks mesej adalah tangkap layar

Kes Ebit Lew: 8 gambar diekstrak daripada telefon Firdaus Wong

Kes Ebit Lew: Sistem perisian gagal kenal pasti mesej dipadam