Nik Abdul dakwa PH gagal selepas setahun tadbir Malaysia

Nik Abduh
Nik Abduh
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMASKINI] Walaupun sudah setahun memerintah, namun Pakatan Harapan (PH) tetap gagal menunaikan tanggungjawab terutamanya melibatkan janji dengan rakyat.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rakyat membuat hukuman dan marah terhadap kerajaan dan semua pihak melihat kesan dan pandangan tersebut.

“Dan yang keduanya kerana apa yang dikatakan mereka mengenai UMNO ini banyak ditokok tambah.

“Dulu Pas bersama Pakatan Rakyat dan kenapa Pas akhir sekali undur diri, kerana banyak perkara yang kita tidak setuju.

“Maknanya banyak cerita-cerita yang melampau dibawa oleh pihaknya, yang kita tidak boleh kongsi di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pencapaian dan prestasi kerajaan PH setahun mentadbir Malaysia bermula selepas PRU14 lalu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu juga memberitahu, bertambah parah lagi dalam waktu setahun ini tiada jaminan bahawa PH yang dianggotai lima parti itu akan menjadi parti yang kukuh.

Malah, beliau berkata, Pas juga melihat PH semakin retak dan bagaikan tiada ubat yang boleh menjamin sepanjang tempoh ini.

Artikel Berkaitan:

“Kelemahan ini kita sebut sebagai kerajaan yang gagal tapi ini cerita demokrasi. Rakyat kena tunggu kerana telah memilih kerajaan ini untuk lima tahun, ada tempoh empat tahun lagi untuk PH baiki jika mereka boleh.

“Pas dengan kerjasama parti-parti pembangkang ini buat kerja cara kita, meyakinkan rakyat bahawa PH ini bukan pilihan untuk bina Malaysia baharu.

“Untuk bina Malaysia baharu, perlu ada Pas kerana Pas bawa satu benda yang paling besar dalam kehidupan iaitu Islam.

“Kita tidak dakwa kita seorang sahaja tetapi orang lain tidak boleh letak Islam di hadapan padahal mereka boleh letak tetapi mengapa tidak letak?

“Kenapa Pas berani selama berpuluh tahun? Jadi, kita ingin baiki Malaysia yang baharu, perlu ada Pas dalam PH di Putrajaya,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan pelbagai pihak yang melihat Islam terancam sejak PH memerintah, Nik Abduh berkata, Pas sudah lama menyebut perkara tersebut iaitu semenjak zaman pemerintahan BN dulu.

“Kita telah beritahu rakyat bahawa jika PH memerintah, Islam akan berada dalam bahaya. Hari ini, Alhamdulillah bukan setakat orang Pas, malah orang UMNO, NGO dan sebagainya juga berpendapat yang sama,” katanya.