Surash nafi dakwaan terlibat kongsi gelap punca kalah PRN

Surash
Surash
A
A
A

SEREMBAN - Bekas calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Seri S Surash menafikan kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu disebabkan dakwaan terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap.

Sebaliknya beliau berkata, ia kerana nasib tidak menyebelahinya untuk memimpin selain tidak menolak bilangan pengundi keluar mengundi merosot iaitu kurang 75 peratus.

Menurutnya, ada banyak faktor lain namun beliau tetap menganggap kekalahan itu sebagai 'kemenangan' malah akan terus melakukan aktiviti kebajikan, bersuara dan berjuang untuk masyarakat Jempol khasnya di Jeram Padang.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat 4,769 pengundi yang mengundi saya, walaupun tewas saya terima dengan hati yang terbuka.

"Bagi saya kita semua menang, kita telah menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin-pemimpin yang kleptokrasi dan rasuah daripada terus menindas masyarakat DUN Jeram Padang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, ahli perniagaan itu turut memberikan jaminan akan terus menentang pihak yang tidak berlaku adil kepada rakyat.

"Saya mohon maaf segala kekurangan dan kesilapan saya sepanjang tempoh berkempen termasuk juga kepada seluruh jentera pilihan raya PN DUN Jeram Padang," katanya.

Pada PRN lalu, Surash kalah dengan majoriti 693 undi dengan calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaidy memperoleh 5,462 undi manakala Surash yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Sembilan mendapat 4,769.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Surash bertanding atas tiket bebas dan berjaya meraih undi kedua tertinggi iaitu 2,640 selepas calon BN, Datuk L Manickam yang mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua apabila memperoleh 3,702 undi.

Sinar Harian sebelum ini juga melaporkan, Surash menafikan dirinya terlibat dalam kegiatan kongsi gelap seperti video tular ketika kempen PRN berlansung.

Beliau menegaskan tuduhan itu tidak berasas kerana sebelum disahkan menjadi calon beliau telah melepasi saringan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.