Harrison sedia dipecat wakili PN di DUN Jeram

Harrison (kiri) bertanding di kerusi DUN Jeram tiba di Pusat Penamaan Calon Stadium Tertutup Kuala Selangor pada Sabtu.
Harrison (kiri) bertanding di kerusi DUN Jeram tiba di Pusat Penamaan Calon Stadium Tertutup Kuala Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Harrison Hassan akur dipecat daripada UMNO selepas bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos depan.

Beliau memberitahu, tindakan itu merupakan prosedur organisasi dan berterima kasih kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, faktor beliau menjadi calon PN disebabkan mahu membantu penduduk di DUN berkenaan.

"Sebagai ahli politik, saya mahu memberi khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan prinsip perjuangan parti.

"Saya akur dengan perkembangan semasa dan pembaharuan yang diinginkan penduduk Jeram dan Selangor serta berikrar berusaha sebaik mungkin memenangi DUN ini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada Sabtu.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh itu berkata, beliau yakin rakyat di DUN itu juga mahukan pembaharuan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat mengumumkan Harrison digugurkan selepas beliau diumumkan sebagai calon mewakili PN.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, pengguguran keahlian secara automatik itu selaras dengan perlembagaan dan peraturan Lembaga Disiplin parti.

Pada PRN Selangor, Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang calon BN, Datuk Jahaya Ibrahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Jeram dimenangi Mohd Shaid Rosli dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohd Shaid memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Arifin (5,896) dan calon Pas, Mohd Nor Mohd. Shahar (4,326).

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!