PH Melaka tunai 68 peratus janji manifesto

Adly bersalaman dengan penjawat awam selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri dan pembentangan pencapaian setahun pentadbiran PH di Dewan Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Adly bersalaman dengan penjawat awam selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri dan pembentangan pencapaian setahun pentadbiran PH di Dewan Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan 58 daripada 85 janji manifesto dalam tempoh setahun setelah mengambil alih pentadbiran negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jumlah itu menyaksikan 68 peratus daripada janji-janji yang pernah ditawarkan dan direalisasikan menerusi pelbagai program pelaksanaan, penambahbaikan polisi kerajaan, kebajikan, pendidikan, keselamatan negeri, selain pelbagai inisiatif baharu akan diperkenalkan bagi memenuhi kehendak serta keperluan rakyat.

Katanya, pencapaian yang digariskan dalam tempoh lima tahun itu termasuk juga meningkatkan ekonomi negeri dan kejayaan mengurangkan hutang yang ditanggung Melaka sebanyak RM4,983,593.15 dengan jumlah RM835,305,267.70 bayaran kepada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, jumlah peratusan itu diperoleh berdasarkan penilaian yang dilakukan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan mengambil kira setiap sudut pandangan dan kajian termasuk pandangan Institusi Tun Perak dan kajian-kajian luar yang disahkan

"Di peringkat kerajaan negeri banyak perkara yang kita boleh lakukan pada masa akan datang dan kita yakin bahawa kita di landasan betul untuk meletakkan Melaka kembali sebagai negeri tersohor bukan sahaja di Malaysia tapi juga di rantau ini," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri dan pembentangan pencapaian setahun pentadbiran kerajaan negeri di Dewan Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Adly meninjau reruai Jabatan Penerangan Melaka selepas majlis perhimpunan bulanan itu.
Adly meninjau reruai Jabatan Penerangan Melaka selepas majlis perhimpunan bulanan itu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan.

Artikel Berkaitan:

Adly yang juga pengerusi PH negeri memberi keyakinan pentadbiran yang sedia ada pada hari ini mempunyai peluang besar untuk mencapai kesemua janji manifesto, memandangkan bagi mencapai 68 peratus itu, pihaknya hanya menggunakan 20 peratus tenaga dan ia umpama bonus kepada kerajaan sekiranya dapat mengotakan janji lebih daripada yang tercatat dalam manifesto demi kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun menurutnya, pencapaian itu tidak akan terlaksana tanpa sokongan kuat jentera kerajaan yang terdiri dalam kalangan penjawat awam negeri ini di semua peringkat dan ia begitu dihargai barisan kepimpinannya.

"Saya yakin dengan menyediakan satu kumpulan yang baik antara pentadbir, dan juga kakitangan-kakitangan awam di semua peringkat ia akan memberikan impak yang terbaik kepada rakyat Melaka.

"Jika ada penilaian kepada pentadbiran saya, saya serahkan kepada rakyat Melaka untuk menilai, tetapi apa yang penting kita turut menilai di peringkat dalaman untuk melaksanakan janji kita dan apa kehendak rakyat," katanya.

Dalam pada itu Adly berkata, kerajaan negeri akan menyediakan mekanisme bagi membuat hebahan mengenai setiap pencapaian itu bagi memastikan usaha yang dilakukan demi kepentingan rakyat sampai hingga ke peringkat akar umbi.