Apa selepas yang terbaik

Kelainan ditampilkan Allahyarham Sudirman membawa kejayaan yang berprestij untuk beliau apabila dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia pada Mei 1989.
A
A

UNGKAPAN “saya akan cuba melakukan yang terbaik” sudah menjadi sesuatu yang dianggap klise.

Dalam kalangan artis sering mengatakan dia akan membuat persembahan yang terbaik. Seseorang ahli sukan bertekad akan melalukan yang terbaik. Para pelajar juga berazam akan cuba melakukan yang terbaik untuk mencapai keputusan yang paling cemerlang dalam peperiksaan.

Selain klise, tahap sebenar yang terbaik itu juga kadang kala adalah suatu ukuran yang subjektif bagi sesetengah bidang.

Secara umum yang terbaik di sini dimaksudkan sebagai yang sehabis-habis baik (ultimate). Tidak ada tahap lebih daripada itu dengan kemahiran, kemampuan, ilmu atau kudrat sebagai insan biasa yang ada pada seseorang.

Namun, di manakah atau adakah ukuran jitu dan mutlak bagi mengukur pencapaian tersebut?

Pada tahap asas, setakat dilakukan (do). Sewaktu berada di sebuah dewan dan bila kita rasa panas, kita mengeluarkan kipas kertas, mengipas badan untuk meredakan rasa berbahang. Untuk rasa lebih selesa kita keluarkan lagi beberapa kipas kerana satu kipas sahaja tidak memadai. Tahap menambah kipas berada di tahap more. Adakah ini sudah dianggap terbaik?

Menyedari keadaan sedemikian pihak pengurusan dewan memutuskan untuk memasang kipas angin elektrik. Tahap ini boleh dikatakan lebih baik (better). Adakah dengan memasang kipas berjejari besar dengan bilangan yang banyak dikira sebagai yang terbaik? (the best) daripada tahap sebelumnya.

Jika begitu paradigma yang tertanam, kita tidak akan mencapai yang terbaik dalam erti kata yang sebenarnya.

The best bukanlah urutan serasi dalam urutan tahap (do),( more) dan (better) yang dibincangkan tadi. Setiap mereka yang ingin mencapai yang terbaik mestilah keluar dari kepompong konvensional dan perlu menjelmakan kejutan pembaharuan dan kelainan.

Maka untaian seterusnya ialah bukanlah the best tetapi melakukannya dengan cara yang berbeza (differently). Bukan memasang banyak kipas atau memasang kipas lebih besar tetapi memasang alat penyaman udara.

Satu contoh kejayaan dilakukan dengan cara yang berbeza telah ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. Bekas pemenang Penghibur Terbaik Asia ini dilihat sebagai peserta yang biasa sahaja (bukan pilihan). Peserta pilihan di dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Royal Albert di London ketika itu ialah dari Hong Kong, Filipina dan Singapura (Anita Sarawak).

Bagaimanapun Sudirman tiba-tiba “meletup” dengan kelainan, gimik, kelincahan, koreografi dan kostum yang sungguh-sungguh berbeza. Melakukan dengan cara berbeza membawa kejayaan yang berprestij untuk beliau apabila dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia pada Mei 1989.

Dick Fosbury, jaguh lompat tinggi Amerika Syarikat yang mencipta nama pada Sukan Olimpik 1968 di Mexico merupakan satu contoh melakukan bukan sahaja yang terbaik tetapi dengan cara yang berbeza.

Teknik lompatan beliau yang unik dan kini dikenali sebagai Fosbury Flop telah membawa satu fenomena baharu dalam arena tersebut. Teknik pelik itu berjaya membawa beliau memenangi pingat emas dalam temasya sukan tersebut serta mencatat rekod baharu Olimpik.

Teknik yang julung kali diperkenalkan itu terus menjadi ikutan jaguh-jaguh lompat tinggi dunia sehingga ke hari ini. Teknik berbeza ini terbukti sebagai yang terbaik, membolehkan seseorang atlet lompat tinggi mencapai tahap ketinggian maksimum mengikut keupayaan masing-masing.

Persoalannya kini, dalam mensasarkan yang terbaik adakah kita memikirkan kaedah, teknik ataupun idea baharu yang mampu memaksimumkan pencapaian kita dalam bidang yang diceburi.

Sebagai seorang pelajar misalnya kita boleh memilih mengikuti kaedah pembelajaran yang lebih sistematik dan berkesan untuk mencapai keputusan peperiksaan yang terbaik. Cari kaedah memahami sesuatu formula mengingati pelajaran, teknik atau formula penyelesaian matematik hatta teknik pembelajaran dan penghafalan al-Quran sekalipun.

Yang terbaik dalam konteks ini bukan jumlah masa belajar semata-mata. Panduan guru, sokongan ibu bapa, bahan rujukan, pemakanan penjagaan kesihatan, aktiviti riadah, doa dan mengamalkan teknik-teknik tertentu yang berkesan.

Terima kasih kepada pelopor-pelopor yang memperkenalkan kaedah tertentu dalam pelbagai bidang ilmu kerana telah mencipta dan meneroka sesuatu yang berlainan dan lebih berkesan.

Pilihlah cara dan teknik yang betul dan terokailah kelainan untuk mencapai impak maksimum dalam apa juga bidang yang anda ceburi. Semoga Maju dan Jaya.

* Mohd Arshad Musa ialah Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd. Beliau berpengalaman dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia