Sembilan PATI ditahan ketika naik feri ke Kuala Kedah

Antara PATI yang ditahan ketika menaiki feri penumpang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pada Rabu
Antara PATI yang ditahan ketika menaiki feri penumpang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pada Rabu
A
A
A

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ketika menaiki feri penumpang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah, pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua PATI didapati hanya memiliki salinan surat dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang meragukan, sedangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah pun dihentikan.

Beliau berkata, pemeriksaan tersebut dilakukan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.

"Kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

"Sehubungan itu, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam kes berasingan, kata beliau, Zon Maritim Kuala Kedah merampas 70 unit bubu naga atau bubu kambang di tiga lokasi berbeza melalui operasi pemantauan rutin penggunaan bubu naga dalam kalangan nelayan selama seminggu.

Noor Azreyanti menambah, pihaknya melakukan operasi beberapa aduan awam diterima di beberapa lokasi termasuklah Kuala Jerlun, Kuala Kangkung dan Sungai Limau, Yan.

"Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa seperti pelampung penanda, pancang kayu dan beberapa alatan GPS mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter (m),"katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua bubu naga dirampas adalah dianggarkan bernilai lebih RM8,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Orang ramai dialu-alukan melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.